ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
AFP

Beirut: Kumpulan Hizbullah Lubnan yang disokong Iran berkata, ia menyasarkan pangkalan operasi tentera di utara Israel pada Selasa, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan salah seorang komandernya dan seorang pemimpin Hamas.

Hizbullah berkata, serangan itu adalah sebahagian daripada tindak balasnya terhadap pembunuhan komander medan tertinggi, Wissam Tawil pada Isnin dan timbalan ketua Hamas, Saleh al-Arouri, pada 2 Januari.

Sekutu Hamas itu dalam satu kenyataan berkata, ia menyasarkan "pusat arahan utara musuh" di bandar Safed, Israel, dengan "beberapa dron".

Tentera Israel mengesahkan "pesawat musuh" terhempas di salah satu pangkalannya di utara, dan berkata, "tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan".

Hizbullah dan musuh ketatnya Israel berbalas serangan merentasi sempadan, hampir setiap hari, sejak perang Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober.

Wissam - anggota Hizbullah berpangkat tertinggi yang dibunuh sejak 7 Oktober - dikebumikan di kampung halamannya di Khirbit Silm, selatan Lubnan, pada Selasa.

Beratus-ratus penyokong Hizbullah menghadiri perarakan pengebumian di mana bendera kuning kumpulan itu disarungkan pada kerandanya.

Kenyataan Hizbullah berkata, Wissam terbabit dalam penculikan tentera Israel yang mencetuskan perangnya dengan Israel pada 2006, dan dia juga mengambil bahagian dalam operasi penting di Syria.

Dia juga "mengarahkan banyak operasi" terhadap tentera Israel sejak perang Gaza bermula, kata Hizbullah.

Naim Qassem, pemimpin nombor dua kumpulan itu, dalam ucapan pada Selasa, menyifatkan Wissam sebagai anggota elit Briged al-Radwan Hizbullah yang berjuang di beberapa bidang.

Dia memberi amaran bahawa gelombang pembunuhan yang disasarkan Israel "tidak boleh membawa kepada fasa berundur tetapi sebaliknya mendorong ke hadapan untuk penentangan".

Terdahulu pada Selasa, serangan Israel menyasarkan sebuah kereta di perkampungan Ghandouria di selatan Lubnan, kata Agensi Berita Nasional (NNA) negara itu.

Serangan itu menyebabkan "tiga pejuang Hizbullah maut" kata sumber keselamatan kepada AFP, meminta namanya dirahsiakan atas sebab keselamatan.

Sejurus sebelum perarakan Wissam bermula, Israel membedil sebuah kereta yang diletakkan di Khirbit Silm, menurut NNA dan saksi mata.

Hizbullah kemudian berkata, empat pejuangnya terbunuh.

Pada Sabtu, Hizbullah berkata, ia menembak lebih 60 roket ke pangkalan tentera Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Saleh di Beirut yang dipersalahkan secara meluas ke atas Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 9:15 AM