ALI Sherif al-Emadi. FOTO Reuters
ALI Sherif al-Emadi. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Mahkamah jenayah di Qatar menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun kepada bekas menteri kewangan negara itu kerana melakukan pengubahan wang haram lebih AS$5.6 bilion (kira-kira RM26.4 bilion).

Berdasarkan dokumen yang dikongsikan, mahkamah memerintahkan Ali Sherif al-Emadi membayar denda melebihi AS$16.7 bilion (kira-kira RM78.7 bilion).

Ia meliputi 40.9 bilion riyal (kira-kira RM51.41 bilion) atau dua kali ganda jumlah wang yang diubahnya itu, dan ditambah dengan denda tambahan berjumlah lebih daripada 21 bilion riyal (kira-kira RM26.3 bilion).

Hakim turut mendapati Sheikh Nawaf Jassim Jabor Al Thani, ahli keluarga pemerintah Qatar yang juga abang kepada bekas perdana menteri Qatar, bersalah kerana menyalahgunakan dana awam, dan dihukum penjara enam tahun dan didenda 825 juta riyal (kira-kira RM1036.9 juta)

Emadi dan Sheikh Nawaf, yang menghadapi perbicaraan bersama 14 yang lain, boleh merayu terhadap sabitan, yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 10 Januari.

Namun, tidak jelas sama ada kedua-duanya sudah membuat pengakuan sebagai jawapan kepada pertuduhan semasa perbicaraan.

Peguam Emadi tidak menjawab permintaan media untuk mengulas mengenai sabitan itu dan Emadi, sejak ditangkap, tidak pernah memberikan ulasan.

Katara Hospitality, syarikat yang dipengerusikan Sheikh Nawaf sebelum ini, enggan memberikan butiran hubungannya dengan individu berkenaan.

Malah, sebuah yayasan kebajikan yang dikendalikan oleh cawangannya dalam keluarga pemerintah, yang sebelum ini dipengerusikannya berkata, ia tidak lagi mempunyai kaitan dengan individu itu .

Menurut dokumen itu juga, Emadi disabitkan bersalah termasuk atas tuduhan rasuah, salah guna jawatan dan pengubahan wang haram.

Seorang peguam yang mewakili seorang lagi defendan dan sumber yang mengetahui kes itu mengesahkan kandungan dokumen mahkamah setebal lima muka surat.

Emadi ditangkap pada Mei 2021 dan dipecat sebagai menteri kewangan.

Perdana Menteri Qatar dan Menteri Luar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani berkata, siasatan ke atas Emadi adalah berkaitan kapasitinya sebagai menteri kewangan, dan bukan jawatan lain yang dipegangnya dalam komuniti perniagaan semasa menjadi menteri.

Siasatan antirasuah berprofil tinggi sedemikian adalah luar biasa di negara teluk itu, di mana tokoh awam berpangkat tinggi jarang menghadapi penelitian atau pendakwaan awam.

Sehari sebelum penahanan Emadi pada 2021, emir Qatar memansuhkan peruntukan yang memberikan menteri dengan kekebalan daripada pendakwaan, menurut warta rasmi.

Sheikh Nawaf, abang kepada bekas perdana menteri Qatar Sheikh Hamad Jassim Al Thani, adalah pengerusi Katara Hospitality sehingga 2021, cabang hotel QIA, yang memiliki Savoy di London dan Plaza New York dan membangunkan projek hotel Katara Towers bernilai AS$600 juta (kira-kira RM2828.6 juta) di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 12:10 PM