ASAP tebal dilihat susulan kebakaran kilang berkenaan. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat susulan kebakaran kilang berkenaan. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand giat menjalankan proses mengenal pasti 23 mangsa yang meninggal dunia dalam letupan di sebuah kilang bunga api di Suphan Buri.

Ambulans dilihat mengangkut mayat dari tempat kejadian ke Wat Rong Chang, sebuah kuil Buddha di ibu kota wilayah Mueang Suphan Buri untuk proses pengecaman.

Ahli keluarga dan rakan mangsa berkumpul di kuil itu untuk memberikan sampel DNA bagi membantu mengenal pasti mayat.

Timbalan Ketua Polis, Jeneral Polis Kitirat Phanphet berkata, daripada jumlah keseluruhan mangsa, 10 mayat sudah berjaya dikenal pasti.

Pihak berkuasa sedang berusaha gigih untuk menyelesaikan proses pengecaman dan menyokong keluarga yang terjejas dalam masa yang mencabar ini.

"Lima daripada mereka sudah diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian 3.30 petang (waktu tempatan) pada Rabu, kilang bunga api di Suphan Buri, kira-kira 120 kilometer (km) ke utara Bangkok, meletup.

Laporan sebelum ini menyebut 23 maut dalam kejadian itu, manakala enam lagi cedera.

Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada mangsa terselamat dalam kejadian itu.

Dalam laporan lain, seorang wanita bernasib baik apabila meninggalkan kilang untuk pulang ke rumah hanya 30 minit sebelum letupan. Wanita itu bagaimanapun kehilangan ibunya dan saudara-mara lain dalam kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Somsak Thepsuthin berkata, keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu akan menerima pampasan sekitar 300,000 baht (kira-kira RM39,750) daripada kerajaan.

Akhbar tempatan melaporkan, 24 letupan di kilang bunga api dan gudang di negara itu, antara 2008 dan 2023.

Pada Julai tahun lalu, 12 orang maut dan 300 cedera dalam insiden letupan di gudang penyimpanan bunga api di pekan Sungai Golok di wilayah selatan Narathiwat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 10:22 AM