ORANG ramai berhimpun di luar kilang haram yang terbakar. - Agensi
ORANG ramai berhimpun di luar kilang haram yang terbakar. - Agensi
AFP

New Delhi: Satu kebakaran di sebuah kilang membuat pakaian haram berhampiran ibu negara India mengorbankan 13 orang dan mencederakan beberapa yang lain dalam kejadian awal pagi semalam, kata seorang pegawai.

Pekerja dilaporkan sedang tidur di dalam kilang berkenaan yang terletak di dalam bangunan kediaman di pinggir New Delhi, apabila kebakaran tercetus, dipercayai akibat litar pintas.

“Kebakaran berlaku di sebuah kilang di kawasan kediaman di Sahibabad kira-kira jam 4:30 pagi. Seramai 13 orang yang sedang tidur mati sementara dua yang lain terselamat dan dirawat di hospital,” kata jurucakap polis tempatan, Bhagwat Singh.

Pegawai bomba tempatan, Abbas Hussain berkata, dua orang berjaya yang terselamat terjaga sejurus selepas kebakaran tercetus.

“Kebetulan mereka terjaga dan berlari sambil menjerit mengejutkan rakan-rakan, namun semuanya tidak sedar.

“Berdasarkan siasatan awal, kilang itu beroperasi secara haram,” katanya.

India mempunyai rekod buruk keselamatan di tempat kerja dan kemalangan yang membawa maut sudah menjadi perkara biasa.

Lapan pekerja terbunuh bulan lalu dalam satu letupan besar di sebuah kilang bunga api di selatan negeri Tamil Nadu, begitu juga kilang bunga api di Madhya Pradesh yang mengorbankan 15 orang pada Mei 2014.

Satu lagi kebakaran di sebuah kilang menjahit beg kulit pada November 2013 di New Delhi turut membunuh enam pekerja. Beberapa mangsa terperangkap di dalam bangunan dan terbakar sehingga sukar untuk membuat pengecaman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:07 AM