FOTO fail menunjukkan rampasan heroin bernilai jutaan dolar Amerika Syarikat di perairan Colombo pada Januari 2022. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan rampasan heroin bernilai jutaan dolar Amerika Syarikat di perairan Colombo pada Januari 2022. FOTO AFP
AFP

Colombo: Polis Sri Lanka menahan hampir 15,000 orang sepanjang seminggu kempen antinarkotik dalam usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah di negara itu.

Pihak berkuasa percaya negara pulau di Lautan Hindi itu digunakan sebagai tempat transit pengedaran dadah.

Kenyataan polis mengesahkan, 13,666 suspek ditangkap, manakala hampir 1,100 penagih ditahan, serta rampasan hampir 440 kilogram (kg) dadah termasuk 272 kg kanabis, 35 kg hasyisy (dadah narkotik yangg dihasilkan daripada pokok ganja) dan 9 kg heroin sepanjang operasi Yuktiya atau Keadilan itu.

Katanya, mereka dihantar untuk pemulihan wajib di kemudahan yang dikendalikan tentera.

"Serbuan akan dihentikan sebentar untuk cuti Krismas kerana pegawai perlu dikerahkan untuk tugas berkaitan keselamatan tetapi akan disambung semula selepas 26 Disember (esok)," katanya.

Media tempatan menunjukkan rakaman polis dan tentera menggunakan anjing pengesan untuk menggeledah rumah di ibu negara dan tempat lain.

Bagaimanapun, kempen dijalankan dengan kerjasama pasukan tentera itu meraih kecaman aktivis hak asasi manusia.

Peguam hak asasi manusia, Hejaaz Hizbullah berkata serbuan itu menyalahi undang-undang kerana ia dijalankan tanpa waran geledah.

Beliau menggesa mangsa mendapatkan butiran pegawai untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia Ambika Satkunanathan menyiarkan di media sosial, pencarian itu bukan berdasarkan bukti tetapi hanya menyasarkan kawasan miskin.

"Polis menahan pengguna dadah dan 'bilis' pengedar dadah tetapi tidak memberi tumpuan kepada 'jerung' pengedar dadah," katanya.

Pengedaran dadah terbesar di Sri Lanka direkodkan pada Disember 2016 apabila polis merampas 800 kg kokain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 10:56 AM