RODRIGO Duterte. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
RODRIGO Duterte. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak akan menyertai persidangan ASEAN di Australia bulan ini, dipercayai berikutan tekanan antarabangsa perang dadah diisytiharkannya yang dianggap menyalahi undang-undang hak asasi manusia.

Keputusan Duterte tidak menghadiri mesyuarat itu dilakukan selepas beliau menyatakan tidak akan bekerjasama dengan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung dakwaan pembunuhan tanpa bicara ketika operasi terbabit yang mengakibatkan ribuan orang ditembak mati oleh polis.

Jurucakap beliau, Harry Roque, mengesahkan Duterte tidak akan menyertai pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) itu untuk persidangan pada 17 dan 18 Mac depan di Sydney.

“Perkembangan dalam negara memerlukan Presiden berada di Filipina,” kata Roque semalam.

Australia antara negara membangkitkan kebimbangan terhadap jumlah kematian perang dadah Filipina ketika mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva tahun lalu.

Duterte yang dipilih pada 2016 dengan janji menghapuskan dadah, melancarkan operasi luar membasmi pengedar dan penagih dadah serta lebih 4,100 suspek ditembak mati.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan hak asasi mendakwa lebih 12,000 kematian termasuk mangsa yang dibunuh kumpulan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 8:20 AM