Foto hiasan AFP
Foto hiasan AFP
BERNAMA-YONHAP

Seoul: Korea Selatan dilanda cuaca paling sejuk musim ini setakat Ahad dengan merekodkan suhu terendah -12.4 darjah Celsius di Seoul.

Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) meramalkan suhu terus menurun pada pagi Isnin dengan paras terendah dijangka mencecah antara -18 C hingga -3 C di ibu negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Daerah Daegwallyeong di Wilayah Gangwon menyaksikan suhu menurun ke paras terendah -16.8 C dan suhu menghampiri -29.7 C pada Ahad.

Sebanyak 12 penerbangan dibatalkan di pulau peranginan Jeju pada pagi Ahad di tengah-tengah gelombang sejuk dan salji tebal.

Gelombang sejuk menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju hingga menyebabkan penerbangan dibatalkan manakala 30 penerbangan lagi ditangguhkan setakat 11 pagi, menurut pegawai lapangan terbang.

Setakat pagi Ahad, salji setebal 20.1 sentimeter direkodkan di kawasan pergunungan di Jeju.

Pembatalan penerbangan itu berlaku sehari selepas KMA mengeluarkan amaran salji tebal untuk kawasan tengah dan barat negara itu.

Amaran gelombang sejuk juga dikeluarkan di kawasan Seoul, Busan, Daejeon dan Daegu pada 9 malam hari Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 4:50 PM