HOSPITAL dikosongkan susulan gempa bumi bermagnitud 7.6 yang melanda Butuan City, selatan Mindanao, Sabtu lalu. FOTO AFP
HOSPITAL dikosongkan susulan gempa bumi bermagnitud 7.6 yang melanda Butuan City, selatan Mindanao, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Manila: Gempa bumi bermagnitud 6.9 melanda pantai selatan Filipina, awal Isnin, lapor Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) dengan beberapa gegaran kuat semuanya tertumpu di kawasan sama.

Bencana itu berlaku hampir 4 pagi waktu tempatan dan pada kedalaman 30 kilometer (km), kira-kira 72 km di timur laut perbandaran Hinatuan di Pulau Mindanao.

Ia susulan gempa bumi bermagnitud 6.6 dan 7.6, masing-masing pada Ahad dan Sabtu di wilayah sama yang mencetuskan amaran tsunami.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya dua individu terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas gempa bumi pada Sabtu lalu.

Ia diikuti dengan beberapa siri gempa susulan dengan magnitud melebihi 6 hingga Ahad, menurut USGS.

Jurucakap polis Hinatuan, Sarjan Joseph Lambo berkata, gempa bumi pada petang Ahad lalu menyebabkan orang ramai bergegas keluar dari rumah mereka.

"Mereka panik kerana teringat dengan gempa malam sebelumnya," kata Lambo kepada AFP.

Beliau berkata, polis sedang memeriksa sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.

Gempa bumi pada Sabtu lalu mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau Pasifik dan menyebabkan penduduk di sepanjang pantai timur Mindanao melarikan diri dari bangunan, mengosongkan hospital dan berlindung di tempat yang lebih tinggi.

Tiada laporan mengenai kerosakan besar pada bangunan atau infrastruktur setakat ini, kata jurucakap bencana kepada AFP awal Ahad.

Bagaimanapun, seorang lelaki berusia 30 tahun maut di Bislig City, di wilayah Surigao del Sur, apabila tembok di dalam rumahnya runtuh dan menimpanya, kata jurucakap bencana tempatan, Pacifica Pedraverde.

Sementara itu, beberapa jalan di bandar itu retak semasa gempa bumi dan gempa susulan, tetapi ia masih boleh digunakan.

Seorang wanita hamil pula terbunuh di bandar Tagum di wilayah Davao del Norte, kata agensi bencana negara, tanpa memberikan butiran.

Dua individu lain mengalami kecederaan ringan akibat serpihan yang terjatuh di Bandar Tandag, kira-kira 100 km ke utara Bislig, kata seorang jurucakap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 10:02 AM