Siling rosak di sebuah pusat beli-belah di Bandar General Santos di Cotabato Selatan selepas gempa bumi menggegarkan selatan Filipina. Foto AFP
Siling rosak di sebuah pusat beli-belah di Bandar General Santos di Cotabato Selatan selepas gempa bumi menggegarkan selatan Filipina. Foto AFP
AFP

Manila: Gempa bumi kuat berukuran 6.7 pada skala Richter menggegarkan selatan Filipina hingga mengorbankan sepasang suami isteri, ketika orang ramai melarikan diri dari bangunan dan sebahagian siling pusat beli-belah runtuh, pada Jumaat.

Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata, tiada ancaman tsunami dikeluarkan selepas gempa bumi melanda wilayah Sarangani di pulau utama selatan Mindanao pada kedalaman 78 kilometer (km).

Polis di bandar itu, Koperal Christopher Larano berkata, pasangan suami isteri berkenaan ditemui mati di bawah runtuhan tembok konkrit di luar sebuah kilang kayu berhampiran Bandar General Santos tempat pasangan itu bekerja.

"Tembok runtuh menimpa mereka semasa gempa," katanya.

Dilaporkan gempa itu merentasi kawasan luas pulau pergunungan itu.

Pengarah Agensi Seismologi Phivolcs, Teresito Bacolcol bercakap kepada stesen radio DZRH bahawa gempa bumi itu berlarutan beberapa saat, sambil menasihati penduduk supaya berwaspada terhadap gegaran susulan sekuat 6.2 pada skala Richter.

Seorang penduduk Keeshia Leyran, 27, berkata, itu adalah gempa terkuat yang pernah dirasai.

"Saya rasa ia adalah gempa bumi paling kuat pernah alami. Orang di sekeliling saya panik dan berlari untuk keluar," katanya.

Penduduk turut berkongsi foto kejadian di Facebook menunjukkan siling runtuh di dalam sebuah pusat beli-belah di Bandar General Santos, kurang 100km dari pusat gempa.

Seorang lagi mangsa sempat membuat rakaman video di pusat beli-belah lain di bandar yang sama.

Video itu memaparkan Gregorio Narajos, 34, bersembunyi di bawah meja restoran makanan segera dan menjerit ketika bangunan itu bergegar dan kepingan siling jatuh.

"Kami berada di tingkat dua, jadi tiada apa yang boleh kami lakukan selain bersembunyi di bawah meja.

"Saya nampak barang jatuh dari siling. Apabila kami keluar, kami melihat keretakan dan serpihan di luar," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja perkhidmatan perubatan kecemasan di General Santos City berkata, kira-kira 30 pelajar di sebuah sekolah menengah berhampiran dirawat kerana sesak nafas akibat panik.

Seorang pegawai polis perbandaran Sarangani Kapten Giecarrjune Villarin berkata, dia dan rakan-rakannya melarikan diri dari bangunan mereka, yang terletak kira-kira 30 km tenggara tempat gempa itu berlaku.

"Kami melihat orang ramai berlari dari gim berhampiran tempat mereka bermain bola keranjang. Kami tidak menerima sebarang laporan kerosakan atau kemalangan jiwa," katanya.

Dalam pada itu, penumpang di sebuah lapangan terbang di Bandar General Santos dipindahkan ke landasan.

Turut dilaporkan beberapa sekolah di bandar Jose Abad Santos di wilayah Davao Occidental mengalami keretakan di bangunan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 12:39 PM