GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Beijing: Polis China berjaya menyelamatkan lebih 1,000 ekor kucing yang bakal dijadikan sebagai hidangan kepada pengunjung.

Ia selepas pencinta haiwan mendedahkan isu itu kepada polis dengan mendakwa wujud kegiatan peniaga trak di Zhangjiagang, bandar Suzhou, Jiangsu, memburu kucing sebelum menipu pelanggan dengan menghidangkan kucing sebagai daging babi atau kambing, lapor akhbar The Paper.

Menurut salah seorang aktivis pencinta haiwan itu, Gong Jian berkata, mereka berjaya menjejaki trak kucing itu selama hampir seminggu selepas menemui puluhan peti kayu mengandungi kira-kira 20 kucing kuning setiap satu di tanah perkuburan di wilayah pantai timur.

Katanya, selepas menghabiskan enam hari mengintai sarang kucing dan laluan dilalui peniaga, kumpulan aktivis haiwan itu berjaya memintas trak kucing dan menghubungi polis tempatan untuk mendapatkan bantuan.

"Kucing itu dalam perjalanan dihantar ke pusat penyembelihan sebelum dijadikan makanan seperti daging lidi dan sosej yang dianggap sebagai daging babi, kambing atau daging lembu.

"Daging kucing dijual pada harga 4.50 yuan (RM2.94) kira-kira lebih 500 gram (g) tetapi di pasaran, daging kambing boleh dijual dengan harga 30 yuan (RM19.59) 500 g.

"Menjual kucing berkulit dengan berat sekitar empat hingga lima paun sebagai daging kambing atau daging babi, peniaga masih dapat keuntungan," katanya.

Kumpulan aktivis itu sebelum ini menemui sebuah rumah penyembelihan di wilayah tenggara Guangdong dan mendapati bangkai kucing beku disimpan untuk dijual.

Seorang lagi aktivis Han Jiali, yang mula menjejaki kereta kucing selepas kehilangan haiwan peliharaannya sendiri berkata, pihak berkuasa tempatan memberitahunya kucing tidak berada di bawah perlindungan undang-undang dan sumber awam tidak boleh diperuntukkan untuk penjagaannya.

"(Peniaga) menceroboh harta saya dan membawa kucing saya ke Guangdong untuk dimakan," katanya merujuk kepada kucingnya menjadi salah satu daripada ribuan kucing yang menjadi mangsa penipuan perniagaan itu.

Menurut laporan, buat masa ini, kebanyakan kucing yang diselamatkan dipindahkan ke taman sementara untuk dirawat sukarelawan.

Butiran tentang kucing seperti baka dan warna bulunya turut diletakkan dalam media sosial bagi membolehkan pemiliknya mengenal pasti kucing mereka sebelum menuntutnya.

Kucing itu akan diambil sebagai anak angkat jika tidak dituntut selepas sebulan, dengan pemilik baharu disaring dan bersetuju menerima lawatan susulan untuk memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan kucing itu

Sebuah tempat perlindungan yang dipanggil Pulau Kucing sedang didirikan di Taicang untuk menempatkan kucing yang yang tidak dituntut atau diambil penjaga angkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 11:29 AM