FOTO FAIL Joe Biden. FOTO AFP)
FOTO FAIL Joe Biden. FOTO AFP)
AFP

Tel Aviv: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan mengadakan lawatan ke Israel esok berikutan peperangan dengan Hamas.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken yang berada di Tel Aviv ketika mengumumkannya sambil memetik terdapat kemajuan dalam memujuk sekutu negaranya untuk melindungi orang awam di Semenanjung Gaza.

Diplomat tertinggi AS itu menghabiskan hampir lapan jam dalam perbincangan di kementerian pertahanan Israel berunding dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang sudah berikrar untuk menumpaskan Hamas selepas serangan paling dahsyat dalam sejarah 75 tahun Israel.

Blinken mengumumkan bahawa Biden yang telah bercakap dalam bentuk sokongan emosi untuk Israel akan melakukan lawatan pada Rabu.

Biden akan mendengar laporan langsung mengenai keperluan ketenteraan Israel dan bekerjasama dengan Kongres untuk memenuhinya, kata Blinken.

Biden akan melawat Tel Aviv, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby di Washington.

Beliau juga mengumumkan bahawa Biden akan meneruskan perjalanan ke Jordan untuk melawat Raja Abdullah II, rakan kongsi penting AS, serta pemimpin Palestin Mahmud Abbas dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi.

Blinken sudah bertemu ketiga-tiga pemimpin Arab itu dalam rangka lawatannya ke rantau berkenaan termasuk Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pada Isnin mengucapkan terima kasih kepada AS atas sokongan, yang juga termasuk lawatan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin dan penempatan dua kapal pengangkut pesawat AS ke Mediterranean.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 2:17 PM