WANITA Iran. FOTO fail AFP
WANITA Iran. FOTO fail AFP
Agensi

Tehran: Parlimen Iran, Selasa lalu, meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan meningkatkan tempoh penjara dan denda bagi wanita dan gadis yang melanggar kod berpakaian.

Seramai 152 ahli parlimen bersetuju berbanding 34 lagi, untuk meluluskan RUU Hijab dan Kesucian, yang memperuntukkan individu yang ditangkap kerana berpakaian tidak sesuai di tempat awam akan dikenakan hukuman tahap keempat.

Mereka yang berpakaian tidak sesuai atau kurang sopan berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, dan denda yang tinggi.

Tempoh percubaan untuk undang-undang itu adalah tiga tahun.

RUU itu juga memperuntukkan denda sama kepada mereka yang mempromosikan etika pemakaian kurang sopan dalam media, dan bagi pemilik kenderaan di mana pemandu atau penumpang wanita tidak memakai tudung atau pakaian yang sesuai, menurut AFP.

RUU itu kini akan dihantar untuk diluluskan Majlis Penjaga, sebuah badan ulama dan fuqaha konservatif.

Majlis itu mempunyai kuasa menggubal RUU itu jika menganggap ia tidak konsisten dengan Perlembagaan dan syariah.

Tindakan itu dibuat setahun selepas protes meletus berhubung kematian dalam tahanan membabitkan Mahsa Amini, wanita yang sebelum itu ditahan polis moral kerana pemakaiannya.

Ia menyebabkan protes dalam kalangan wanita yang menyaksikan mereka membakar tudung atau melayang-layangkan ke udara bagi hingga menyebabkan ratusan orang dilaporkan terbunuh dalam tindakan keras pasukan keselamatan.

Sejak itu, semakin ramai wanita dan kanak-kanak perempuan tidak menutup rambut mereka di khalayak ramai, walaupun polis moral kembali ke jalanan dan pihak berkuasa memasang kamera pengawasan.

Di bawah undang-undang Iran, yang berdasarkan tafsiran syariah negara, wanita dan gadis yang melebihi umur akil baligh mesti menutup rambut mereka dengan tudung dan memakai pakaian longgar untuk melindungi susuk tubuh.

Pada masa ini, mereka yang tidak mematuhi berisiko dikenakan hukuman penjara antara 10 hari dan dua bulan, atau denda hingga 500,000 riyal (kira-kira RM550).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 10:38 AM