PARLIMEN Iran meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan meningkatkan tempoh penjara dan denda bagi wanita serta gadis yang melanggar kod berpakaian. FOTO AFP
PARLIMEN Iran meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan meningkatkan tempoh penjara dan denda bagi wanita serta gadis yang melanggar kod berpakaian. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Setahun lalu pada bulan ini, seorang wanita dikenali sebagai Mahsa Amini dilaporkan maut dalam tahanan pihak berkuasa kerana dipercayai melanggar etika berpakaian.

Kematiannya mencetuskan gelombang protes ganas di seluruh Iran pada akhir tahun lalu.

Ia juga menyebabkan lebih 300 orang maut dalam tempoh lebih dua bulan berikutan protes yang tercetus akibat kematian Mahsa.

Sejak Revolusi Islam 1979 yang menggulingkan pemerintahan beraja, undang-undang Iran mewajibkan semua wanita memakai pakaian sopan dan bertudung.

Bagaimanapun, ramai wanita, terutama di Tehran dan bandar utama lain, mempamerkan lebih banyak rambut mereka dalam tempoh dua dekad lalu sebelum peraturan itu diperketatkan lagi dan menjadi isu protes.

Selepas kematian Mahsa, beberapa siri protes berlangsung di Iran dengan lebih 2,000 orang awam ditahan.

Malah, rusuhan turut berlaku di seluruh dunia termasuk London dan Paris dengan orang ramai terutama wanita melemparkan tudung mereka dalam unggun api dan tempat pembuangan sampah sebagai tanda solidariti.

Selepas setahun berlalu, nama Mahsa Amini masih teguh dalam ingatan penduduk Iran dan protes terbaharu diadakan bagi memperingati tahun pertama kematiannya.

Pihak berkuasa menahan lebih 260 orang ketika sambutan berkenaan dan mengeluarkan amaran keras bagi mengelak protes baharu.

Pihak berkuasa keselamatan berkata, penahanan itu dibuat kerana mereka melanggar keselamatan awam, menghasut untuk melakukan protes dan memiliki senjata.

Rentetan daripada kematian Mahsa, pihak berkuasa Iran semakin tegas dengan peraturan berkaitan pemakaian wanita dan mengumumkan langkah baharu yang mengejutkan.

Pada April lalu, polis moral Iran mengumumkan penggunaan teknologi pintar di tempat awam untuk mengenal pasti kemudian menghukum wanita yang melanggar peraturan ketat berpakaian.

Polis akan menghantar mesej bukti dan amaran kepada individu yang melanggar undang-undang hijab untuk memaklumkan mereka mengenai tindakan undang-undang, jika mengulangi jenayah ini.

Pemilik kereta juga akan menerima teks amaran jika ada penumpang mereka yang melanggar etika berpakaian dan kenderaan pemilik akan disita jika kesalahan itu berulang.

Pada minggu ini, pihak berkuasa sekali lagi membuat pengumuman mengejutkan mengenai peraturan berpakaian apabila Parlimen Iran meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan meningkatkan tempoh penjara dan denda bagi wanita serta gadis yang melanggar kod berpakaian.

Seramai 152 Ahli Parlimen bersetuju meluluskan RUU Hijab dan Kesucian, yang memperuntukkan individu boleh ditangkap kerana berpakaian tidak sesuai di tempat awam dan dikenakan hukuman tahap keempat.

Mereka yang berpakaian tidak sesuai atau kurang sopan berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda yang tinggi.

Tempoh percubaan untuk undang-undang itu adalah tiga tahun.

Menurut AFP, RUU itu juga memperuntukkan denda sama kepada mereka yang mempromosikan etika pemakaian kurang sopan dalam media dan bagi pemilik kenderaan apabila pemandu atau penumpang wanita tidak memakai tudung atau pakaian yang sesuai.

RUU itu kini akan dihantar untuk diluluskan Majlis Penjaga, sebuah badan ulama dan fuqaha konservatif.

Majlis itu mempunyai kuasa menggubal RUU itu jika menganggap ia tidak konsisten dengan Perlembagaan dan syariah.

Langkah 'keras' itu diambil setahun selepas kematian Mahsa yang dilihat mencetuskan lebih banyak protes dalam kalangan wanita.

Pihak berkuasa berpendapat bahawa semakin ramai wanita dan kanak-kanak perempuan tidak menutup rambut mereka di khalayak ramai, walaupun polis moral kembali ke jalanan dan pihak berkuasa memasang kamera pengawasan.

Di bawah undang-undang Iran, yang berdasarkan tafsiran syariah negara, wanita dan gadis yang melebihi umur akil baligh mesti menutup rambut mereka dengan tudung dan memakai pakaian longgar untuk melindungi susuk tubuh.

Pada masa ini, mereka yang tidak mematuhi peraturan, berisiko dikenakan hukuman penjara antara 10 hari dan dua bulan atau denda hingga 500,000 riyal (kira-kira RM550).

Walaupun pihak berkuasa melaksanakan peraturan keras untuk mengekang wanita daripada menanggalkan tudung, namun masih ada yang buat tidak endah dan tidak gentar.

Mungkin sudah tiba masanya pihak berkuasa di Iran memikirkan pendekatan lebih berhikmah ketika berdepan wanita, apatah lagi untuk perkara membabitkan penampilan mereka.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 7:00 AM