FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Sekurang-kurangnya 12 mangsa maut panahan petir sewaktu ribut melanda negeri Odisha di India, petang Sabtu lalu.

The National News melaporkan ribut yang menyaksikan 61,000 petir selama tiga jam itu turut menyebabkan lebih 14 lagi mangsa, cedera.

Sebanyak 3,200 lagi petir dicatatkan pada Ahad, namun tanpa kemalangan jiwa.

Kerajaan sudah menawarkan pampasan sebanyak 400,000 rupee (kira-kira RM22,515) kepada keluarga mangsa, kata Pertubuhan Bantuan Khas (SRC), yang berurusan dengan pengurusan bencana di Odisha.

Bantuan juga disediakan kepada mereka yang kehilangan lembu akibat ribut itu, kata SRC.

Odisha mengalami hujan lebat dan kilat, selama beberapa hari.

Jabatan Meteorologi India, agensi cuaca persekutuan, sudah meramalkan pembentukan kawasan tekanan rendah di Teluk Utara Benggala dalam tempoh 24 jam akan datang dan memberi amaran mengenai hujan lebat sehingga Khamis.

Petir adalah perkara biasa di rantau itu antara April dan Jun semasa musim tengkujuh, tetapi jarang berlaku di luar tempoh berkenaan

Kira-kira 2,500 orang mati setiap tahun akibat guruh dan kilat, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan India.

Antara 2020 dan 2021, terdapat 18.5 juta panahan petir di seluruh negara, kata laporan oleh Lightning Resilient India Campaign, sebuah organisasi berkaitan kerajaan yang menumpukan pada usaha membanteras kematian akibat kilat.

Di Odisha, kilat dianggap sebagai 'bencana khusus negeri'. Pada 2021 dan 2022, 281 orang terbunuh dipanah petir di 30 daerah di negeri itu, menurut laporan media.

Negeri itu mempunyai perjanjian dengan syarikat data risikan cuaca yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Earth Networks untuk memberikan amaran awal.

India mempunyai teknologi untuk meramalkan guruh dan kilat tetapi terdapat kekurangan kesedaran awam mengenai fenomena itu.

India menyaksikan cuaca ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 10:05 AM