Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - FOTO Reuters/KCNA
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - FOTO Reuters/KCNA
Bernama-Dpa

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un memecat jeneral tertingginya dan mengarahkan kesediaan berperang angkatan tentera dipertingkatkan, lapor media yang dikawal kerajaan pada Khamis.

Jeneral Pak Su Il digulingkan sebagai ketua Turus Am dan digantikan oleh Ri Yong Gil, yang baru-baru ini berkhidmat sebagai menteri pertahanan, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), tanpa menjelaskan sebabnya.

Perubahan di bahagian atas berlaku ketika persiapan sedang dijalankan untuk perarakan besar tentera bagi menandakan ulang tahun ke-75 penubuhan republik itu pada 9 September.

Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Parti Pekerja pula berkata, ia sedang memperkukuh kesiapsiagaan angkatan tenteranya untuk berperang di semenanjung Korea.

Kim menandatangani perintah yang memerlukan lebih banyak latihan ketenteraan dan penempatan unit di barisan hadapan, kata media kerajaan selepas mesyuarat di Pyongyang.

Kim telah menganalisis keadaan di semenanjung dan wilayah yang lebih luas serta telah membuat kesimpulan untuk "meningkatkan persiapan perang Tentera Rakyat secara ofensif," dengan tujuan untuk meneutralkan semua bentuk serangan musuh sekiranya perang meletus.

Media negara menuduh "pasukan musuh" bekerja ke arah konfrontasi tentera dengan Korea Utara.

Musuh yang dimaksudkan adalah Amerika Syarikat dan sekutunya Korea Selatan.

Selepas siri ujian peluru berpandu yang tidak pernah berlaku sebelum ini tahun lalu, Korea Utara telah menguji peluru berpandu berkeupayaan nuklear beberapa kali tahun ini.

AS dan Korea Selatan bersetuju pada April untuk mengukuhkan kerjasama ketenteraan mereka dan memperluaskan latihan ketenteraan bersama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 5:51 PM