Polis dan anggota penyelamat membersihkan salji tebal atas bumbung sebuah hotel susulan salji runtuh. Foto Daily Mail
Polis dan anggota penyelamat membersihkan salji tebal atas bumbung sebuah hotel susulan salji runtuh. Foto Daily Mail
Agensi

LONDON: Darurat diisytiharkan di beberapa bahagian Eropah malam kelmarin selepas jumlah kematian akibat salji terburuk sejak 30 tahun lalu mencecah 21 orang.

Kereta kebal dan tentera dikerahkan menyelamatkan penduduk dari rumah mereka dengan keadaan salji setinggi paras leher di Jerman serta Austria, lapor Daily Mail.

Di Switzerland, runtuhan salji seluas 304 meter merempuh bahagian depan sebuah hotel ketika penghuninya sedang makan. Tiga orang cedera namun tiada kematian dilaporkan.

Saksi berkata: "Saya terdengar bunyi kuat sebelum bahagian belakang restoran dilitupi salji yang sangat banyak."

Beberapa bahagian Eropah lumpuh sejak beberapa hari lalu dengan salji memutuskan hubungan ke perkampungan terpencil di kawasan gunung, selain mengganggu pengangkutan. Amaran salji runtuh juga pada tahap kritikal.

Darurat diisytiharkan di sebahagian besar selatan Jerman, dengan askar dikerahkan membantu orang ramai yang terperangkap dalam rumah. Tentera turut dikerahkan di sekitar Albania, Montenegro serta Serbia.

Di Bavaria, selatan Jerman, seorang budak lelaki berusia sembilan tahun mati dihempap pokok yang tumbang akibat salji terlalu berat. Dia hanya ditemui selepas 40 minit namun tidak dapat diselamatkan. Sementara itu, di Austria, seorang remaja mati ditimbus salji runtuh ketika berski dengan keluarganya.

Anggota penyelamat berusaha mencari seorang remaja yang tertimbus dalam salji runtuh sebelum mayatnya ditemui. Foto Daily Mail
Anggota penyelamat berusaha mencari seorang remaja yang tertimbus dalam salji runtuh sebelum mayatnya ditemui. Foto Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:59 PM