GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 2,195 laman web yang didapati mempromosikan judi dalam talian setakat Mac lalu.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, laman web itu disekat berdasarkan permohonan rasmi yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain aduan orang awam.

Manakala, sebanyak 19,765 talian telefon ditamatkan kerana disahkan 'spam' menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

"Kegiatan atau promosi perjudian sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 di bawah bidang kuasa PDRM.

"Namun, kerjasama strategik antara SKMM dan PDRM sudah sedia terjalin dalam usaha untuk membendung perjudian secara dalam talian.

"Berkaitan isu itu, SKMM mengambil pendekatan melakukan tindakan pencegahan serta kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna," menurut kenyataan itu,

Dalam pada itu, SKMM turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook (FB), Twitter, dan YouTube, selain PDRM.

Katanya, kerjasama itu membolehkan pihak berkenaan menurunkan kandungan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan, manakala daripada aspek penguatkuasaan, SKMM menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya.

"Ia penting bagi mengelakkan nombor berkenaan disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah, bukan terhad kepada penipuan dan mempromosi judi dalam talian.

"Selain itu, perkara yang turut diberikan keutamaan adalah usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung aktiviti yang salah di sisi undang-undang, termasuklah kegiatan judi dalam talian," katanya.

Antara usaha dilakukan termasuklah penganjuran program advokasi pengguna menerusi kempen kesedaran di seluruh

negara serta melalui hebahan media massa, yang bermatlamat memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai termasuklah golongan muda dan kanak-kanak agar tidak terjebak dengan kegiatan itu.

SKMM memberi peringatan kepada pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan kandungan sedemikian kepada orang lain, yang secara tidak langsung dianggap mempromosikan perjudian dalam talian.

Sebaliknya, pengguna disaran menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang kandungan yang didapati menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 5:52 PM