FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Sembilan pelajar maut akibat bunuh diri dengan dua lagi dikatakan cuba bertindak serupa di Andhra Pradesh dekat Hyderabad, selepas keputusan peperiksaan kelas 11 dan kelas 12 diumumkan pada Rabu oleh Lembaga Peperiksaan Bagi Ujian Pertengahan Andhra Pradesh.

Portal NDTV melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun membunuh diri di daerah Srikakulam dengan melompat di hadapan kereta api.

Pelajar tahun pertama yang berasal dari kampung Dandu Gopalapuram di daerah itu dikatakan berkecil hati selepas gagal dalam kebanyakan kertas ujian.

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pula membunuh diri di kediamannya di Trinadhapuram, kawasan di bawah bidang kuasa balai polis Malkapuram.

Pelajar wanita berasal dari daerah Visakhapatnam turut dilaporkan kecewa selepas gagal dalam beberapa mata pelajaran untuk peperiksaan berkenaan.

Seorang lagi remaja berusia 18 tahun mengakhiri hidupnya dengan menggantung diri di kediamannya di kawasan Kancharapalem di Visakhapatnam. Dia hanya gagal dalam satu mata pelajaran.

Dua pelajar berusia 17 tahun dari daerah Chittoor di Andhra Pradesh meninggal dunia akibat bunuh diri selepas gagal dalam peperiksaan pertengahan itu.

Seorang daripadanya pelajar perempuan membunuh diri dengan terjun ke dalam tasik, manakala seorang lagi lelaki dari daerah yang sama, maut selepas memakan racun perosak.

Seorang lagi pelajar berusia 17 tahun menggantung diri sehingga mati di kediamannya di Anakapalli.

Dia dikatakan tertekan kerana memperoleh markah rendah pada tahun pertama pertengahan semester.

Berita mengejutkan itu datang di tengah-tengah siri bunuh diri di kolej arus perdana di India.

Sebelum ini, empat pelajar maut akibat disyaki membunuh diri tahun ini di pelbagai kampus Institut Teknologi India (IIT).

Ketua Hakim Negara India DY Chandrachud pada Februari lalu menyatakan kebimbangan mengenai laporan kejadian bunuh diri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 10:39 AM