TIADA bayang daripada objek dilihat pada hari berkenaan. FOTO Agensi
TIADA bayang daripada objek dilihat pada hari berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Orang ramai di ibu negara Thailand, Bangkok menyaksikan pemandangan aneh apabila bayang-bayang mereka hilang sepenuhnya, Khamis lalu.

Pada 12.16 tengah hari itu, bandar ini mengalami fenomena bayang-bayang sifar yang jarang berlaku.

Bayang-bayang semua objek menegak sama ada manusia, pokok, bangunan pencakar langit dan tiang, 'hilang' selama beberapa minit.

Hari 'bayang-bayang sifar' atau 'tanpa bayang' berlaku dua kali setahun di semua lokasi antara kawasan Garisan Sartan (Tropic of Cancer) dan Garisan Jadi (Tropic of Capricorn).

Ia merujuk kepada kawasan di bumi antara 23.5 darjah ke utara dan ke selatan, dari Garis Khatulistiwa.

Di Thailand, fenomena itu berlaku pada satu hari pada bulan April atau Mei, dan satu lagi pada bulan Julai atau Ogos, menurut Jabatan Meteorologi Thailand (TMD).

Hari bayang-bayang sifar pertama Thailand tahun ini berlaku di daerah paling selatan negara itu Betong di wilayah Yala, pada 4 April lalu.

Fenomena itu bergerak ke utara secara beransur-ansur dan akan 'tiba' di daerah paling utara negara itu Mae Sai di Chiang Rai pada 22 Mei, kata TMD .

Penduduk Bangkok akan melihat fenomena itu sekali lagi tahun ini pada 12.22 tengah hari, 16 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 9:33 AM