Gunung Merapi memuntahkan lava dari kawahnya seperti yang dilihat dari Sleman di Yogyakarta. - FOTO AFP
Gunung Merapi memuntahkan lava dari kawahnya seperti yang dilihat dari Sleman di Yogyakarta. - FOTO AFP
AFP

Jakarta: Gunung Merapi di Indonesia, salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, meletus lewat hari semalam dan terus memuntahkan abu panas pada hari ini.

Rakaman lahar yang menyala keluar dari kawah dan kepulan awan panas yang tinggi menjulang 1,300 meter ke udara telah diambil oleh Balai Cerap Gunung Merapi yang dikendalikan kerajaan pada malam Jumaat.

Gunung berapi itu terus memuntahkan abu dan lahar panas pada Sabtu.

"Penduduk harus menjangkakan gangguan akibat abu gunung berapi dari letusan Gunung Merapi dan sila berwaspada dengan bahaya aliran lumpur gunung berapi, terutama ketika hujan di sekitar Merapi," kata agensi volkanologi negara itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Gunung berkenaan turut meletus minggu lalu, menghantar bahan gunung berapi 3,000 meter di atas puncak.

Debu gunung berapi menyelubungi sekurang-kurangnya lapan kampung berhampiran gunung berapi itu selepas letusan minggu lalu.

Ahli gunung berapi berkata minggu lalu gunung berapi itu mengalami fasa paling aktif sejak 2021.

Merapi berada pada tahap amaran kedua tertinggi sejak 2020 berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi dan pihak berkuasa mewujudkan zon larangan sejauh tujuh kilometer dari puncak.

Letusan besar terakhir gunung berapi itu direkodkan pada 2010 mengorbankan lebih 300 orang dan memaksa kira-kira 280,000 penduduk dipindahkan.

Ia merupakan letusan paling kuat di Merapi sejak 1930 apabila kira-kira 1,300 orang terbunuh.

Letusan pada tahun 1994 menyebabkan kira-kira 60 orang terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 5:56 PM