Reuters

Bangkok: Pencemaran udara di Bangkok dan wilayah di Thailand melonjak melepasi paras selamat semalam, mendorong pihak berkuasa menggesa penduduk tinggal di dalam rumah dan mengurangkan aktiviti di luar.

Pengukuran zarah pencemaran pada 2.5 mikron atau PM2.5 di ibu negara adalah 14 kali ganda daripada paras yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menjadikannya yang keenam terburuk di dunia, menurut IQAir iaitu platform pengesanan kualiti udara Switzerland.

Jabatan kawalan pencemaran negara berkata "keadaan cuaca yang tidak stabil" diburukkan lagi dengan pelepasan bahan bakar kenderaan dan pembakaran bermusim bagi tanah pertanian.

"Kita perlu memperhebatkan (usaha menangani pencemaran) dengan menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah. Bagi sekolah, mereka mungkin perlu mengelak aktiviti luar dalam usaha mengurangkan kesan kepada kesihatan kanak-kanak," kata ketua pengarah jabatan itu dalam sidang akhbar.

PATUNG Buddha di Tokong Wat Paknam Phasi Charoen kelihatan samar akibat pencemaran udara di Bangkok semalam. FOTO Reuters.
PATUNG Buddha di Tokong Wat Paknam Phasi Charoen kelihatan samar akibat pencemaran udara di Bangkok semalam. FOTO Reuters.

Penduduk mengadu penglihatan kurang jelas dan sukar bernafas dalam udara yang tercemar.

"Saya rasa mata saya seolah terbakar. Saya sukar untuk melihat apabila perlu menunggang motosikal," kata Kanjanaporn Yampikul, 51, yang juga penunggang teksi motosikal.

WHO mengesyorkan bahawa purata bacaan tahunan PM2.5 hendaklah tidak lebih daripada 5 mikrogram setiap meter padu selepas mengubah garis panduannya tahun lalu, dengan kepekatan yang rendah sekalipun boleh mendatangkan risiko kesihatan.

Paras di Bangkok dan kawasan sekitarnya pada masa ini ialah 70.5 mikrogram setiap meter padu.

Setiap tahun, pendedahan kepada pencemaran udara menyebabkan kira-kira 4.2 juta kematian pramatang, menurut WHO.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 8:21 AM