Seorang lelaki berpura-pura menyamar pelanggan sebelum menyamun pasar raya di Seksyen 20 di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.45 malam, suspek dikatakan masuk ke dalam premis dan berpura-pura membeli minuman dalam tin.

Ketua Polis Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek berjalan ke kaunter bayaran sebelum memberi wang syiling kepada juruwang.

Menurutnya, suspek meminta juruwang mengira jumlah wang syiling berkenaan.

“Suspek mengambil kesempatan masuk ke bahagian dalam kaunter bayaran dan merentap peti simpanan tunai berisi wang tunai RM600.

“Suspek juga merampas kad tambah nilai yang dianggarkan berjumlah RM2,500 sebelum melarikan diri menggunakan kereta Toyota Vios yang berada di depan premis,” katanya.

Shafien berkata, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan bagi mendapatkan gambaran susuk fizikal suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) dan operasi memburu suspek giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:09 AM