UPACARA penyerahan pertama pesawat C919 di China. FOTO AP
UPACARA penyerahan pertama pesawat C919 di China. FOTO AP
AFP

Beijing: China pada Jumaat lalu mengumumkan penghantaran pertama jet penumpang keluaran tempatan.

Pesawat itu dijangka membuat penerbangan komersialnya pada awal tahun depan.

Beijing berharap pesawat komersial C919 berupaya mencabar model asing seperti Boeing 737 MAX dan Airbus A320, walaupun kebanyakan bahagiannya diperoleh dari luar negara.

Model pertama jet badan sempit itu, yang boleh memuatkan 164 penumpang diserahkan secara rasmi kepada China Eastern Airlines dalam satu majlis di lapangan terbang di Shanghai, lapor media tempatan.

Langkah itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan industri pesawat China, kata penyiar negeri CCTV.

Rakaman yang disiarkan pada Jumaat oleh CCTV menunjukkan jet yang mempunyai logo China Eastern Airlines di lapangan terbang.

Commercial Aircraft Corp of China (Comac) milik negara menyerahkan 'kunci peringatan' iaitu sebagai simbolik kepada C919 pertama di dunia, lapor CCTV.

Comac berkata, pada pertunjukan udara bulan lalu, ia memperoleh 300 tempahan untuk C919, tetapi tidak menjelaskan sama ada pesanan itu disahkan sepenuhnya, dan tidak memberikan butiran mengenai nilai tawaran atau tarikh penghantaran.

Bagaimanapun, jika pesanan diterima, ia akan menjadikan bilangan tawaran yang diketahui untuk C919 kepada lebih 1,100, berdasarkan angka daripada kenyataan Comac sebelumnya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan empat pesawat C919 dijangka dihantar ke China Eastern Airlines, syarikat penerbangan kedua terbesar negara itu.

Pesawat berkenaan dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2023.

China memeterai perjanjian untuk jet Airbus bernilai AS$17 bilion (kira-kira RM74.8 bilion) awal tahun ini, dan syarikat itu mula mengeluarkan pesawat model A321nya di bandar timur laut Tianjin, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 12:05 PM