WANITA melihat kerosakan pada rumahnya di Sukamulya, Cianjur. FOTO Reuters
WANITA melihat kerosakan pada rumahnya di Sukamulya, Cianjur. FOTO Reuters
AFP

Jakarta: Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda Pulau Jawa di Indonesia minggu lalu meningkat kepada 321 orang apabila pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat pada Ahad, kata agensi mitigasi bencana nasional.

Gempa bumi bermagnitud 5.6 melanda bandar Cianjur di Jawa Barat, Isnin lalu, di mana kebanyakan mangsa terbunuh apabila bangunan runtuh atau tanah runtuh.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Suharyanto berkata, penyelamat menemui tiga lagi mayat, manakala lapan mayat ditemukan pada Sabtu.

"Dengan penemuan ketiga-tiga (mayat) ini, sehingga hari ini, jumlah kematian menjadi 321 orang," kata Suharyanto dan mengesahkan 11 orang masih hilang.

Pasukan penyelamat akan meneruskan pencarian mereka pada Isnin dengan memberi tumpuan kepada kawasan di mana mereka yang hilang dipercayai tertimbus, kata ketua agensi mencari dan menyelamat Jawa Barat, Jumari.

Gempa bumi itu merosakkan lebih 62,000 rumah dan memaksa lebih 73,000 orang berpindah ke sekurang-kurangnya 325 pusat perlindungan, kata Suharyanto.

Indonesia mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di lingkaran Gunung Berapi Pasifik, di mana plat tektonik bertembung.

Gegaran pada Isnin adalah yang paling dahsyat di negara kepulauan itu sejak gempa bumi 2018 yang mengakibatkan tsunami mengorbankan lebih 4,000 orang di Pulau Sulawesi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 10:36 AM