IMEJ Google Maps
IMEJ Google Maps
Reuters

Jakarta: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.3 melanda barat Pulau Sumatera pada Selasa, menurut agensi geofizik Indonesia, BMKG.

Susulan itu, amaran tsunami dikeluarkan untuk tempoh dua jam sebelum ia ditarik balik.

Pusat Seismologi Mediterranean-Eropah pada awalnya menyatakan gempa itu bermagnitud 6.9.

Gempa pada kedalaman 84 kilometer (km) itu berlaku kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

Beberapa gempa susulan direkodkan kemudian dengan satu daripadanya bermagnitud 5, menurut BMKG.

Agensi mitigasi bencana Indonesia menyatakan bahawa pihak berkuasa mengumpul data dari kepulauan berhampiran pusat gempa di pantai barat Sumatera, kata jurucakapnya, Abdul Muhari.

Di Padang, ibu kota Sumatera Barat, gempa itu dirasai dengan kuat, dan orang ramai melarikan diri dari kawasan pantai, kata Abdul yang ketika itu berada di Padang.

"Orang ramai lari keluar rumah, panik tetapi situasi terkawal," katanya sambil menambah tiada kerosakan setakat ini.

Berita tempatan menunjukkan penduduk Padang melarikan diri menggunakan motosikal dan berjalan kaki ke kawasan lebih tinggi.

Ada yang membawa beg galas, manakala yang lain menggunakan payung untuk melindungi diri mereka daripada hujan.

"Di Pulau Siberut, orang ramai sudah berpindah. Mereka diberitahu supaya tinggal di kawasan pemindahan sehingga arahan tsunami ditarik balik," kata pegawai tempatan dikenali sebagai Noviandri kepada TvOne.

Indonesia mengalami gempa bumi yang kerap kerana berada dalam lingkaran gunung berapi Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 8:27 AM