LI JIAQI. FOTO Agensi
LI JIAQI. FOTO Agensi
Agensi

Hong Kong: Salah satu platform penstriman langsung paling popular di China membuat kemunculan semula dalam talian, secara mengejut pada malam Selasa minggu lalu.

CNN melaporkan, ia selepas tiga bulan platform itu tidak aktif kerana isu kek berbentuk kereta kebal, yang dipercayai ramai, ada kaitan dengan insiden pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen.

Pada malam berkenaan, pempengaruh kecantikan, Li Jiaqi muncul semula di Taobao Live Alibaba, platform penstriman langsung untuk gergasi e-dagang itu.

Siaran langsung serta-merta itu menarik ribuan penonton dalam beberapa minit pertama, walaupun tiada notifikasi awal di akaun media sosialnya.

Dianggarkan 63 juta penonton menonton siaran langsung selama dua jam itu yang meraih tontonan tinggi daripada kebanyakan rancangannya sebelum ini.

Bagaimanapun, jumlah tontonan itu masih lebih rendah daripada trafik semasa festival beli-belah utama.

Pempengaruh berusia 30 tahun itu dikenali Austin Li adalah seorang selebriti internet terbesar China, dengan 64 juta pengikut di Taobao Alibaba.

Lelaki itu pernah menjual 15,000 gincu dalam masa lima minit dalam pertandingan jualan menentang pengasas Alibaba Jack Ma hingga mendapat jolokan 'Raja Gincu China'.

Li mendiamkan diri sejak awal Jun selepas rancangan popularnya terputus secara tiba-tiba pada malam ulang tahun pembunuhan beramai-ramai Dataran Tiananmen, pada tahun ini.

Sejurus sebelum berakhirnya secara mendadak, Li menunjukkan kepada penontonnya hidangan aiskrim pelbagai lapisan yang dihiasi dengan Oreo dan wafer. Ia menyerupai kereta kebal.

Penganalisis berkata, Li hampir pasti disekat oleh kerajaan kerana bentuk kereta kebal adalah simbol sensitif di China, dikaitkan oleh banyak pihak dengan pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen pada 1989.

Dalam pada itu, ketika siaran langsung pada Selasa minggu lalu itu, Li tidak menjelaskan mengapa dia menghilangkan diri atau ke mana dia pergi dalam tempoh tiga bulan yang lalu.

Sebaliknya, Li hanya fokus dalam memperkenalkan barangan jualannya terdiri daripada set kosmetik, produk penjagaan kulit dan pakaian fesyen yang dengan cepat diambil oleh peminatnya.

Salah satu barangan paling laris adalah krim muka, yang terjual lebih 50,000 unit dengan jumlah jualan 12.3 juta yuan (kira-kira RM8.04 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 10:26 AM