Agensi berita Xinhua mendedahkan gambar rakaman berkaitan latihan ketenteraan di China. FOTO Xinhua via AP
Agensi berita Xinhua mendedahkan gambar rakaman berkaitan latihan ketenteraan di China. FOTO Xinhua via AP
Reuters

Seoul: Beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Taipei dan mengubah laluan ke ruang udara berhampiran berikutan latihan ketenteraan China selepas lawatan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan.

China mengerahkan beberapa pesawat dan melepaskan peluru berpandu berhampiran Taiwan pada Khamis dalam latihan terbesarnya di Selat Taiwan, yang dijangka berlangsung sehingga Ahad di enam zon mengelilingi sebahagian besar pulau itu.

Meskipun penggunaan ruang udara untuk aktiviti ketenteraan terbabit agak kecil, tetapi gangguan itu menghalang laluan udara antara Asia Tenggara dan Asia Timur Laut.

Korean Air Lines Co Ltd dalam kenyataannya berkata, pihaknya membatalkan penerbangan antara Seoul dan Taipei pada Jumaat dan Sabtu, selain menangguhkan penerbangan pada Ahad berikutan latihan itu.

Dalam kenyataan berasingan, Singapore Airlines Ltd berkata, pihaknya turut membatalkan penerbangan pada Jumaat antara Singapura dan Taipei kerana sekatan ruang udara itu serta akan terus memantau keadaan sekiranya lebih banyak pelarasan diperlukan.

ANA Holdings Inc dan Japan Airlines Co Ltd Jepun masih mengendalikan penerbangan ke Taipei seperti biasa, kata jurucakap syarikat penerbangan itu, tetapi mengelak ruang udara yang terjejas serta laluan ke Hong Kong dan Asia Tenggara.

Pada Khamis, Cathay Pacific Airways Ltd Hong Kong berkata, pihaknya mengelak penerbangan di zon ruang udara yang ditetapkan sekitar Taiwan dan ia boleh menyebabkan penerbangan lebih panjang untuk beberapa penerbangan.

Perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan syarikat penerbangan Taiwan China Airlines Ltd dan EVA Airways Corp masih melakukan penerbangan keluar masuk dari pulau itu setakat pagi Jumaat, begitu juga Philippine Airlines dan syarikat penerbangan kargo FedEx Corp serta United Parcel Service Inc, namun mengelak kawasan yang terjejas susulan latihan ketenteraan itu.

Emirates masih dijadualkan terbang ke Taipei pada Jumaat, menurut laman webnya.

OPSGROUP, sebuah koperasi industri penerbangan yang berkongsi maklumat mengenai risiko penerbangan, berkata latihan ketenteraan China akan menjejaskan laluan utama antara Asia Tenggara dan Asia Timur Laut sekali gus menyebabkan penerbangan lebih lama serta memerlukan bahan api tambahan.

Bagaimanapun, impak terhadap kesan itu adalah kecil terhadap industri penerbangan global berbanding dengan keputusan kebanyakan syarikat penerbangan yang memintas laluan penerbangan ke tempat lain membabitkan Rusia, Ukraine, Afghanistan, Korea Utara, Iraq dan Syria.

Pengelakan ruang udara Rusia, sebagai contoh, menyebabkan peningkatan hampir empat jam bagi penerbangan antara Finland dan Jepun.

Taiwan berkata, pada Rabu negara itu sudah berunding dengan Jepun dan Filipina untuk mencari laluan penerbangan alternatif, lapor Central News Agency (CNA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 12:50 PM