MOHAMMED Zubair.
MOHAMMED Zubair.
AFP

New Delhi: Polis India pada Isnin menangkap seorang pengasas bersama sebuah laman sesawang semakan fakta yang lantang mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Mohammed Zubair ditangkap di Delhi selepas dipanggil untuk memberi keterangan berhubung satu kes lain, kata Pratik Sinha, yang mengendalikan laman web Alt-News bersama-sama Zubair.

Sinha dalam hantaran di Twitter menyatakan bahawa rakannya itu ditangkap secara salah dan tanpa amaran serta kini ditahan oleh polis di Delhi.

Zubair dikatakan menjadi antara individu yang lantang mengkritik parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata Party (BJP) dan sering dilabel menghasut oleh beberapa kumpulan Hindu di internet.

Individu itu juga berdepan dengan beberapa kes mahkamah.

Beberapa media tempatan mengaitkan penahanan Zubair pada Isnin dengan kontroversi jurucakap BJP yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 9:51 AM