ANTARA mangsa yang diselamatkan selepas bot berkenaan, karam. FOTO Basarnas / AFP
ANTARA mangsa yang diselamatkan selepas bot berkenaan, karam. FOTO Basarnas / AFP
Reuters

Makassar: Pasukan penyelamat Indonesia sedang mencari 26 mangsa yang hilang pada Sabtu, selepas sebuah bot dengan 43 orang di dalamnya terbalik di luar pulau Sulawesi, kata agensi mencari dan menyelamat.

Bot bermotor yang meninggalkan pelabuhan Paotere di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan itu, pada tengah malam Khamis, dilaporkan hilang keesokan harinya apabila gagal tiba di destinasinya, lapor media tempatan.

Penumpang yang terselamat dalam insiden itu, diselamatkan menggunakan bot tunda dan dibawa ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan dan Jeneponto di Sulawesi Selatan, kata ketua agensi mencari dan menyelamat Sulawesi Selatan Djunaidi pada Sabtu.

Pihak berkuasa berkata, kemalangan itu berpunca daripada kekurangan bahan api dan cuaca buruk.

"Kami mendapat pengesahan bahawa bot itu karam di kawasan pencarian.

"Kami menerima maklumat mengatakan 17 orang ditemui dan diselamatkan dengan menaiki bot tunda," kata Djunaidi.

Agensi cuaca Indonesia sudah memberi amaran pada Khamis, mengenai ombak sehingga 2.5 meter di kawasan selat Makassar dan boleh menyebabkan risiko keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 9:25 AM