Peserta tunjuk perasaan menyertai demonstrasi antikerajaan yang masih berlanjutan di Colombo. - FOTO AFP
Peserta tunjuk perasaan menyertai demonstrasi antikerajaan yang masih berlanjutan di Colombo. - FOTO AFP
AFP

Colombo: Sri Lanka akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk mula membayar balik hutangnya, kata bank pusat pada Khamis ketika kerajaan menutup sekolah kerana kekurangan bahan api.

Gabenor Bank Pusat Sri Lanka, Nandalal Weerasinghe berkata, tidak akan ada pembayaran hutang sehingga negara itu dapat menstruktur semula hutang luar negerinya yang berjumlah $51 bilion.

"Kami berharap dapat mencapai persetujuan dengan pemiutang kami dalam masa kira-kira enam bulan.

"Pendirian kami sangat jelas. Sehingga mereka datang untuk menyusun semula (perjanjian), kami tidak akan dapat membayar," katanya.

Beliau berkata keganasan perusuh yang meragut sembilan nyawa minggu lalu dan kegagalan kerajaan untuk memuktamadkan menteri kewangan di bawah kabinet baharu boleh menangguhkan rundingan dengan pemiutang dan IMF.

Gabenor berkata rundingan penyelamat dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sedang dijalankan, tetapi perjanjian akhir memerlukan kelulusan menteri kewangan yang masih belum dilantik oleh negara itu.

Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa meletak jawatan minggu lalu berikutan tekanan terhadap kesusahan ekonomi teruk yang dihadapi oleh 22 juta penduduk.

Penggantinya Ranil Wickremesinghe telah cuba membentuk "kabinet perpaduan", tetapi telah melantik hanya empat menteri, semuanya dari parti SLPP Presiden Rajapaksa, dan tiada seorang pun dari pembangkang.

Wickremesinghe meminta kakitangan kerajaan negeri untuk tinggal di rumah pada Jumaat dan mengambil cuti hujung minggu yang panjang kerana negara menghadapi kekurangan petrol yang teruk.

Kerajaan juga menutup sekolah awam mulai Jumaat kerana krisis bahan api yang telah menyebabkan barisan panjang berbatu-batu untuk stok bahan api yang terhad di beberapa stesen minyak.

Hanya beberapa teksi yang beroperasi manakala kebanyakannya beratur di beberapa stesen minyak yang masih mengeluarkan petrol dengan catuan.

Dalam usaha untuk meningkatkan kecairan dolar dalam bank perdagangan, bank pusat itu pada Khamis melaksanakan peraturan menghalang pegangan wang dolar oleh rakyat Sri Lanka selama lebih daripada dua minggu.

Undang-undang sedia ada membenarkan rakyat Sri Lanka memegang sehingga $15,000 selama tiga bulan sebelum mendepositkan ke bank atau membuat tukaran tunai pada kadar pertukaran rasmi.

Dalam dua minggu, had akan dikurangkan kepada $10,000 dan tempoh masa mata wang itu boleh dipegang akan dikurangkan kepada dua minggu, kata Weerasinghe.

Kekurangan mata wang asing Sri Lanka telah menjadi nadi kepada krisis semasa, memaksa kerajaan menghentikan banyak import barangan keperluan.

Ini telah membawa kepada inflasi yang melambung tinggi, kekurangan teruk dan gangguan bekalan elektrik dalam krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak kemerdekaan pada 1948.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 5:47 PM