Alina Fazleeva (tengah) dan suaminya, Amdrei Fazleev (kiri) diusir dari Bali dan dilarang masuk ke Indonesia sekurang-kurangnya selam enam bulan. - FOTO AFP
Alina Fazleeva (tengah) dan suaminya, Amdrei Fazleev (kiri) diusir dari Bali dan dilarang masuk ke Indonesia sekurang-kurangnya selam enam bulan. - FOTO AFP
Agensi

Denpasar: Seorang pempengaruh media sosial warga Rusia dan suaminya akan diusir dari Bali kerana melanggar budaya tempatan selepas berbogel ketika mahu mengambil gambar di sebatang pokok keramat.

Alina Fazleeva, yang mempunyai ribuan pengikut di Instagram, merakam gambar bogel di sebatang pokok banyan berusia 700 tahun, berhampiran sebuah kuil di daerah Tabanan.

Gambar yang diambil oleh suaminya, Andrey Fazleev, kemudian dimuat naik di Instagram dan tular sehingga menimbulkan kemarahan penduduk Bali.

Ini kerana, mengikut budaya Hindu Bali, gunung-ganang, pokok dan ciri-ciri semula jadi lain dianggap sebagai rumah dewa.

Ketua Imigresen Bali, Jamaruli Manihuruk berkata, pasangan berkenaan dibuktikan melakukan aktiviti-aktiviti yang menggugat ketenteraman awam dan tidak menghormati norma tempatan.

"Oleh itu, mereka akan dikenakan sekatan dengan diusir," katanya kepada wartawan.

Pasangan suami isteri itu dilarang memasuki Indonesia sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan, selain perlu mengambil bahagian dalam upacara pembersihan di kawasan suci mengikut kepercayaan tempatan.

Fazleeva menerusi akaun instagramnya memohon maaf dalam Bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia serta mengakui telah "membuat kesilapan besar".

"Terdapat banyak tempat suci di Bali dan tidak semuanya mempunyai tanda maklumat mengenainya, seperti dalam kes saya.

"Adalah sangat penting untuk menghormati tempat-tempat dan tradisi-tradisi ini," katanya.

Gabenor Bali, Wayan Koster berkata, pentadbirannya tidak akan bertolak ansur dengan pelancong yang berkelakuan biadab.

Hampir 200 orang diusir dari pulau percutian itu tahun lalu, dengan sesetengah mereka kerana melanggar protokol Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 3:44 PM