PELANCONG dan rakyat tempatan dilihat memakai pelitup muka di Bali. FOTO EPA
PELANCONG dan rakyat tempatan dilihat memakai pelitup muka di Bali. FOTO EPA
AFP

Denpasar, Indonesia: Pelancong atau warga asing yang berada di pulau peranginan Bali diberi amaran bahawa mereka mungkin akan dihantar pulang jika mereka ditangkap melanggar peraturan kesihatan Covid-19 ketika perayaan Tahun Baru.

Pihak berkuasa memberi amaran itu pada Khamis.

"Bersedia untuk ditendang keluar," kata Ketua Imigresen Bali Jamaruli Manihuruk dalam temu bual dengan AFP.

Menurutnya peraturan kesihatan itu mesti dipatuhi ketika berada di negara itu bagi menangani varian Omicron yang kini melanda dunia.

Gabenor Bali telah menghalang karnival, bunga api dan perhimpunan lebih daripada 50 orang sepanjang tempoh Krismas dan Tahun Baru.

Pusat beli-belah, restoran dan kafe mesti ditutup sebelum 10 malam, dan hanya beroperasi pada kapasiti 75 peratus.

Pemandangan tropika Bali yang indah, pantai luncur air dan pemandangan pesta menjadi daya tarikan pelancong dari Australia dan New Zealand, serta bandar berdekatan seperti Singapura.

"Hampir 200 pelancong diusir dari Bali tahun ini," kata Manihuruk, dengan tujuh daripada mereka melanggar SOP berkaitan Covid-19.

Pada Julai, tiga pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Ireland dan Russia dihantar pulang selepas mereka didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Manakala pada Mei, seorang pemengaruh dari Rusia dan Taiwan yang berpangkalan di AS dihantar pulang selepas menyiarkan video di mana mereka dilihat berjalan di sekitar Bali dengan wajah dicat seolah-olah memakai pelitup muka.

Video itu mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia yang menuntut pasangan itu meminta maaf dan dihantar pulang.

Indonesia antara negara yang teruk dilanda wabak Covid-19.

Sehingga Rabu, ia melaporkan lebih daripada 4.2 juta kes Covid-19 dengan lebih daripada 144,000 kematian. Di Bali sahaja melaporkan lebih 110,000 kes dengan lebih 4,000 kematian.

Dengan kadar vaksinasi yang agak rendah, negara ini kekal terdedah kepada wabak baharu, terutamanya varian Omicron yang lebih mudah ditularkan.

Terdapat 68 kes Omicron yang disahkan di Indonesia setakat ini, menurut data kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 8:13 AM