GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Tokyo: 1.96 juta yen (kira-kira RM68,319) untuk satu kilogram (kg). Itu nilai sejenis daun teh Jepun yang menjadi tumpuan dalam acara lelongan bermusim sulung di negara itu pada Isnin.

Daun teh hijau asli ditanam di Fujinomiya, wilayah Shizuoka itu dijual pada lelongan tahunan Pasar Teh di bandar itu, lapor The Independent.

Pegawai di pasaran berkata, walaupun pengeluaran teh perlahan daripada biasa tahun ini, kualitinya kekal tidak berubah.

Pemain industri berusaha keras memastikan teh yang lazat pada harga berpatutan walaupun negara itu dilanda kenaikan harga bahan api dan bahan mentah, kata presiden pasaran, Yasuhide Uchino.

Terletak di pantai selatan Jepun, wilayah Shizuoka terkenal dengan hasil teh hijaunya.

Lelongan itu turut menyaksikan ramai pemborong teh gembira mendapat produk tulen itu selepas bergegas ke pasar, pada awal pagi.

"Kami memperoleh teh dengan warna dan bentuk yang baik," kata Natsuki Wada, pemborong teh yang sudah diproses berusia 35 tahun yang berpangkalan di bandar Shizuoka.

Ia bermula dengan jayanya apabila loceng pertama transaksi berbunyi jam 7 pagi.

Ramai dilihat berunding untuk perjanjian dengan tepukan gemuruh ketika perjanjian dimeterai.

Menurut Pasaran Teh Jepun Shizuoka, teh hijau Shizuoka memperoleh jumlah dagangan 1,732 kg menjelang 8.10 pagi, dengan purata sekilogram berharga 5,027 yen (RM175), tambah laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 7:00 AM