ABU susulan letusan gunung berapi berkenaan. FOTO AFP
ABU susulan letusan gunung berapi berkenaan. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) mengingatkan penduduk Lampung untuk berwaspada susulan letusan Gunung Berapi Anak Krakatau.

Ledakan abu gunung berapi itu kini mencapai 3,000 meter dari puncaknya.

Ketua Basarnas Lampung, Jumaril berkata, gunung berkenaan yang terletak di Selat Sunda itu semakin aktif dan abunya membahayakan penduduk setempat.

Limpahan lava dari letusan gunung itu juga mampu membahayakan penduduk dalam radius dua kilometer.

"Apa yang paling dibimbangkan adalah potensi gunung berapi itu meletuskan limpahan lavanya," katanya.

Berdasarkan data, tiupan angin kini direkod dari arah barat daya menuju ke laut.

Tetapi penduduk harus berwaspada sekiranya arah tiupan angin bertukar dari timur atau selatan, gunung berkenaan.

"Jika angin bertiup dari selatan ke tenggara bermaksud dari arah Banten namun jika dari arah timur pula akan menuju Kalianda," katanya.

Jumaril mengingatkan orang ramai yang tinggal di persisir pantai Banten dan Lampung untuk terus berhati-hati terhadap kemungkinan perubahan angin.

"Sediakan pelitup muka sekiranya abu gunung berapi bertiup ke arah Banten atau Lampung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan ASDP Indonesia Ferry Pelabuhan Bakauheni, Suharto berkata, perubahan status Gunung Berapi Anak Krakatau itu tidak menjejaskan kepulangan masyarakat pulang ke kampung halaman.

"Setakat ini, keadaan yang berlaku tidak menjejaskan pelayaran untuk pulang ke kampung tahun ini," katanya.

Suharto berkata, tempoh menyeberangi Selat Sunda masih normal antara dua hingga tiga jam bagi setiap pelayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 12:45 PM