TANGMO Nida. FOTO Agensi
TANGMO Nida. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Kematian pelakon Thailand, Nida Patcharaveerapong atau lebih popular sebagai Tangmo Nida adalah satu kemalangan dan ia berdasarkan bukti, menurut Ketua Polis Negara Suwat Jangyodsuk.

Katanya, polis menjangkakan untuk mengetahui lebih lanjut dalam beberapa hari apabila keputusan pemeriksaan forensik diketahui, lapor Bangkok Post.

Beliau sudah mengarahkan penyiasat untuk meneliti kenyataan saksi dan bukti berkaitan seperti rekod telefon dan kelajuan pemanduan serta data GPS bot laju itu.

Mayat aktres berusia 37 tahun itu ditemui pada 26 Februari lalu, hampir dua hari selepas dia terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya selepas menaiki bot laju bersama lima yang lain.

Dua individu, Tanupat "Por" Lerttaweewit dan Phaiboon "Robert" Trikanjananun, didakwa mengendalikan bot tidak berlesen dan kecuaian menyebabkan kematian selepas kejadian itu.

Tiga lagi penumpang ialah Idsarin "Gatick" Juthasuksawat, pengurus Tangmo; Wisapat "Pasir" Manomairat dan Nitas "Job" Kiratisoothisathorn.

Mereka dilaporkan sudah dipanggil untuk disoal siasat pada Ahad lalu.

Kelima-lima mereka dikecam hebat netizen berhubung insiden dengan ibu Tangmo mengenai pampasan kematian anak perempuannya.

Sekurang-kurangnya 29 saksi kini disoal siasat dalam siasatan kematian aktres itu.

Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Jirapat Phumijit berkata pada Ahad, polis masih mengumpul bukti dan siasatan akan mengambil sedikit masa.

Beliau berkata, siasatan sedang dikendalikan secara mudah tanpa gangguan, dan memaklumkan ketua polis negara turut menyelia siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 12:50 PM