TANGMO Nida.
TANGMO Nida.
Agensi

Bangkok: Misteri kematian pelakon Nida Patcharaveerapong atau dikenali sebagai Tangmo Nida terjawab apabila polis mengesahkan pelakon itu meninggal dunia akibat lemas.

Ia hasil pemeriksaan forensik.

Thai PBS World melaporkan, Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Jirapat Phumichit, berkongsi perkembangan kes kematian pelakon itu menerusi sidang media, Selasa lalu.

Menurut Jirapat, Nida mengalami luka dalam pada kaki kiri mangsa mungkin disebabkan oleh kipas bot tetapi forensik tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada pelakon itu terjatuh dari bot, atau ditolak.

Beliau turut mendedahkan polis meneliti kenyataan lima rakan yang berada di atas bot yang sama dengan Nida.

"Setakat ini, mereka menyerahkan pakaian yang mereka pakai pada malam itu, sudah menjalani pemeriksaan fizikal dan menyediakan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk analisis forensik,"katanya.

Berhubung luka dan lebam yang ditemui pada lengan dan bahu salah seorang daripada lima rakan Nida di dalam bot bersamanya, dikenali sebagai Job, doktor yang menjalankan pemeriksaan memberitahu media bahawa ia berlaku dalam tempoh lima hingga tujuh hari dan bukan disebabkan cakaran kuku jari.

Seorang doktor pada sidang media berkata bahawa dia tidak bertanya bagaimana lelaki itu mendapat kecederaan, namun percaya bahawa ia disebabkan oleh objek keras dan bukan pergaduhan.

Jirapat berkata bahawa penyiasat polis sudah memeriksa sistem navigasi GPS pada bot dan mendapatkan butiran perjalanan kapal termasuk kelajuan pelayarannya pada malam tragedi Khamis minggu lalu itu.

Pakar patologi di Institut Perubatan Forensik Hospital Besar Polis memberitahu media bahawa mereka tidak dapat mengesahkan sama ada Nida sudah membuang air kecil sebelum dia lemas, seperti yang didakwa rakan-rakannya, kerana mayat sudah di dalam air untuk waktu yang lama.

Pakar forensik, Prof Madya Dr Werasak Charaschaisri memberitahu PBS Thai bahawa luka dalam pada kaki mangsa mungkin disebabkan oleh kipas bot, tetapi masih belum didedahkan sama ada luka itu, sebelum atau selepas bedah siasat.

Mengenai pasir yang terdapat di dalam paru-paru Nida, Dr Werasak menjelaskan dia masih bernafas ketika terjatuh ke dalam sungai .

Katanya, ia kerana pasir boleh masuk ke dalam paru-paru ketika lemas, dan arus di Sungai Chao Phraya menyebabkan pasir boleh terampai di dalam air.

Oleh itu, mangsa tidak perlu tenggelam ke dasar sungai untuk pasir masuk ke dalam paru-parunya.

Sementara itu, ramai penduduk tempatan meletakkan bunga di Jeti Pibulsongkram di wilayah Nonthaburi, hari ini, bagi penghormatan terakhir kepada mendiang pelakon berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Mayat pelakon Thailand ditemukan terapung
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 12:53 PM