KUIL Mata Vaishno Devi. FOTO Agensi
KUIL Mata Vaishno Devi. FOTO Agensi
AFP

Srinagar, India: Sekurang-kurangnya 12 maut dan 13 cedera dalam kejadian rempuhan di sebuah kuil di India pada awal pagi Sabtu ketika kumpulan penganut berkumpul untuk upacara sembahyang tahun baharu.

Bencana itu berlaku di Mata Vaishno Devi di Kashmir, salah satu kuil Hindu yang paling dihormati di utara India.

Sebelum wabak itu, kira-kira 100,000 penganut akan melawat tapak itu setiap hari, tetapi pihak berkuasa telah mengehadkan jumlah harian kepada 25,000.

"Sekurang-kurangnya 12 orang kehilangan nyawa dan 13 cedera," seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

"Jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana laluan ke kuil puncak bukit dipenuhi dengan penganut yang cuba melakukan lawatan dan sembahyang tahun baharu," katanya.

Seorang lagi pegawai pengurusan bencana mengesahkan jumlah kematian, berkata rempuhan berlaku kira-kira 2:45 pagi (2115 GMT).

"Siasatan peringkat tinggi telah diarahkan oleh kerajaan berhubung insiden rempuhan di Kuil Shri Mata Vaishno Devi," katanya.

"Amat sedih dengan kehilangan nyawa," kata Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter, sambil menambah bahawa dia sudah berhubung dengan pegawai tempatan.

"Takziah kepada keluarga yang ditinggalkan. Semoga yang cedera segera pulih," kata Modi.

Pegawai kanan lain termasuk Presiden India mengucapkan takziah, dan menteri dalam negeri mengatakan ia berita itu menyayat hati.

Menteri Jitendra Singh berkata beliau sedang dalam perjalanan ke tapak untuk melihat keadaan.

Laporan memetik saksi sebagai berkata bahawa had harian 25,000 telah melebihi dan kumpulan besar masuk tanpa slip kebenaran.

Laporan lain pula mendakwa berlaku pertengkaran antara penganut.

Operasi menyelamat dimulakan serta-merta dan mangsa yang cedera – sebahagian daripada mereka dilaporkan dalam keadaan serius – dibawa ke hospital.

Rakaman video di media sosial menunjukkan ambulans kecil dengan lampu berkelip bergegas ke hospital ketika keadaan masih gelap.

Kuil itu, dibuka 24 jam sehari, terletak di bukit Katra kira-kira 30 kilometer dari bandar Jammu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 1:17 PM