Sara Duterte (kanan) bersama bapanya, Presiden Rodrigo Duterte. - FOTO AFP
Sara Duterte (kanan) bersama bapanya, Presiden Rodrigo Duterte. - FOTO AFP
AFP

Manila: Anak perempuan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte iaitu Sara Duterte akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pilihan raya Mei depan.

Pengumuman itu dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di laman Facebook rasminya di mana Sara akan bertanding untuk menggantikan calon lain.

Tindakan mengejut itu dibuat beberapa hari sebelum tarikh akhir 15 November untuk calon membuat kemasukan lewat ke pilihan raya 2022.

Ramai sebelum ini menjangkakan Sara akan bertanding jawatan Presiden dalam usaha menggantikan bapanya, yang secara perlembagaan dilarang daripada memohon penggal kedua selama enam tahun.

Selama berbulan-bulan, beliau berkeras mahu berkhidmat sepenggal lagi sebagai Datuk Bandar Davao City, walaupun secara konsisten dia mendahului tinjauan pilihan pengundi untuk presiden akan datang.

Spekulasi mengenai rancangannya bertambah kuat minggu ini selepas beliau tiba-tiba menarik diri daripada persaingan Datuk Bandar, keluar dari parti wilayahnya dan menyertai Lakas-Christian Muslim Democrats, parti politik kebangsaan sekutu rapatnya dan bekas presiden Gloria Arroyo.

"Saya berterima kasih kepada penyokong saya dan berharap apa saja yang berlaku dalam beberapa hari akan datang akan dapat memberikan apa yang mereka mahukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 6:33 PM