TULANG berselerak  dalam gua di gunung  Umm Jirsan, Arab Saudi.
TULANG berselerak dalam gua di gunung Umm Jirsan, Arab Saudi.
Agensi

Riyadh: Penjelajahan penyelidik ke gua terbentuk akibat aliran lava di Arab Saudi yang dihuni dubuk sejak ribuan tahun lalu menemukan timbunan tulang manusia dan bangkai haiwan.

Gua lava bawah tanah itu terbentuk daripada aliran lava dipercayai mencecah suhu hingga 2,000 darjah Celsius.

Apabila lava habis mengalir, ia boleh menghasilkan terowong sejauh 64 km.

Penyelidik menemui gua jenis itu di gunung Umm Jirsan yang difahamkan menjadi laluan lava terpanjang dengan panjang 1.4 km.

Penemuan ekstrem dengan timbunan tulang dijumpai di kawasan barat gua berkenaan.

Setakat ini 1,900 tulang dianalisis dipercayai milik 40 hidupan dengan dua dipercayai rangka manusia.

Selain itu, tulang dianalisis termasuk keldai, kambing, unta dan anjing, lapor Live Science.

Pakar berkata, dubuk itu mungkin tidak membunuh manusia namun menggali mayat dari kubur berdekatan dan memakannya di ruang bawah tanah.

Kumpulan penyelidik lain percaya penemuan jumlah tulang luar biasa itu disebabkan oleh serigala.

Namun, kajian terbaharu kini menemukan tulang itu daripada dubuk yang makan haiwan dan manusia.

Berdasarkan kajian diterbitkan penyelidik, ada kesan gigitan pada tulang yang sepadan dengan dubuk.

Ketua penerbit Mathew Srewart dan penyelidiknya berkata, dubuk berjalur dipercayai menyimpan tulang di Umm Jirsan.

"Walaupun anggapan tulang itu milik manusia adalah benar...namun ia mungkin digali dubuk dari kawasan perkuburan," katanya.

Penyelidik menambah penemuan dan analisis perlakuan dubuk juga mampu memberi petunjuk kepada penemuan tulang itu.

"Ia akan beri petunjuk kepada penemuan biodiversiti di negara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:02 AM