Mangsa yang cedera parah selepas diserang buaya. - FOTO Agensi.
Mangsa yang cedera parah selepas diserang buaya. - FOTO Agensi.
Agensi

Sydney: Seorang lelaki cedera parah selepas diserang buaya ketika berenang di 'lubuk buaya' yang terletak di Cape York.

Kejadian yang berlaku semalam itu menyaksikan dua lelaki yang juga anggota tentera berenang di lokasi berkenaan ketika seekor buaya menyerang seorang daripada mereka.

Jurucakap perkhidmatan ambulans Queensland, Denis O'Sullivan berkata, ketika seorang lelaki diserang, rakannya cuba menyelamatkan dan turut mengalami kecederaan.

Mangsa yang parah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

"Kedua-dua lelaki itu berenang berhampiran perkampungan nelayan di Portland Roads, kira-kira 800 kilometer dari Cairns.

"Kawasan berkenaan memang diketahui sebagai lubuk buaya air masin," katanya seperti dilaporkan portal ABC.

Doktor dan paramedik diterbangkan ke lokasi berkenaan untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Datuk Bandar Lockhart River, Wayne Butcher berkata, populasi buaya di kawasan berkenaan semakin bertambah dalam tempoh tiga dekad.

"Buaya ini terdapat di dalam sungai, sistem pengairan dan di kawasan pantai berhampiran.

"Jika melihat papan tanda amaran mengenai buaya, orang ramai diminta berhati-hati atau jangan masuk ke dalam air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 3:30 PM