GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Beijing: Seorang doktor haiwan di China meninggal dunia akibat jangkitan virus Monkey B (BV), Sabtu lalu sekali gus kematian pertama membabitkan manusia yang pernah direkodkan negara itu.

BV yang mula dikesan pada 1932 adalah virus bawaan kera, namun sangat jarang menjangkiti manusia.

Menurut laporan dikeluarkan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China, doktor lelaki berusia 53 tahun itu yang bertugas di institusi penyelidikan haiwan primat, mula menunjukkan gejala awal jangkitan seperti mual dan muntah, sebulan selepas membedah dua monyet yang mati pada awal Mac lalu.

Dia kemudian menjalani rawatan di beberapa hospital sebelum meninggal dunia pada 27 Mei lalu dan bedah siasat ke atasnya mengesahkan kematian berpunca daripada jangkitan BV.

Bagaimanapun, ujian saringan dilakukan ke atas ahli keluarga dan rakan sekerja yang menjadi kontak rapat mangsa, mendapati mereka negatif BV.

Pusat itu turut mencadangkan virus berkenaan sebagai berpotensi memberi ancaman dengan kadar kematian antara 70 ke 80 peratus.

Sejak dikesan, BV merekodkan hanya 50 kes ke atas manusia dengan kebanyakannya berlaku di Amerika Utara.

Ia berjangkit menerusi kontak rapat dan rembesan cecair, seperti virus herpes simpleks (HSV) pada manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:35 AM