Ribuan doktor di India memakai lilitan hitam pada lengan sebagai bantahan terhadap individu yang mendakwa yoga dapat menghalang jangkitan Covid-19. FOTO AFP
Ribuan doktor di India memakai lilitan hitam pada lengan sebagai bantahan terhadap individu yang mendakwa yoga dapat menghalang jangkitan Covid-19. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Ribuan doktor di India memakai lilitan hitam pada lengan sebagai bantahan terhadap individu yang mendakwa yoga dapat menghalang jangkitan Covid-19.

Individu itu juga mendakwa perubatan konvensional sudah membunuh ribuan pesakit Covid-19.

Baba Ramdev yang juga pengasas empayar perubatan tradisional pada bulan lalu berkata, pandemik ini menunjukkan bahawa perubatan moden sebagai 'bodoh dan kegagalan sains' selain mendakwa 'ribuan telah mati akibat perubatan konvensional'.

Hari ini, protes 'Black Day' diadakan di mana gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan doktor meminta 'Quack Ramdev' ditahan.

Persatuan doktor di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), satu daripada hospital kerajaan terbesar di India, menggelar komen dibuat Ramdev sebagai 'memalukan'.

Ramdev, penyokong kuat Perdana Menteri Narendra Modi, menarik balik komennya selepas mendapat rayuan oleh menteri kesihatan India.

Namun, dia kemudian menimbulkan kemarahan dengan mengatakan bahawa dia tidak memerlukan vaksin Covid-19 kerana dia dilindungi oleh yoga dan perubatan tradisional Ayurveda.

Syarikat Ramdev, Patanjali Ayurved bernilai beberapa ratus juta dolar, menjual segala-galanya dari ubat gigi hingga seluar jeans di kedai-kedai sekitar India.

Awal tahun ini, ia melancarkan ubat herba bernama Coronil yang dikatakan Ramdev boleh menyembuhkan Covid-19.

Acara pelancaran dihadiri oleh menteri kesihatan.

Syarikat itu yang juga jenama ke-13 paling dipercayai di India berdasarkan senarai yang diterbitkan tahun lalu, turut mendakwa mempunyai ubat penyembuh barah, sementara Ramdev juga mengatakan dia dapat 'menyembuhkan' homoseksual dan AIDS.

Covid-19 telah menyebabkan sekurang-kurangnya 330,000 orang mati di India, termasuk lebih 1,200 doktor, menurut Persatuan Perubatan India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 9:18 PM