SARA
SARA
Agensi

New Delhi: Usianya baru 10 tahun namun kanak-kanak kelahiran India ini mempunyai daya ingatan yang kuat apabila mampu mengingati ibu negara dan mata wang bagi 195 negara di seluruh dunia.

Kelebihan Sara Chhipa dari Bhilwara, Rajasthan itu melayakkannya memegang rekod dunia pada 2 Mei lalu selepas lulus ujian yang dijalankan secara penstriman langsung di Facebook, YouTube dan LinkedIn.

Perjalanan Sara bermula tiga bulan lalu dibantu mentornya, Pengasas Brain Rhyme Cognitive Solutions Singapore, Sushsant Mysorekar.

Sushsant melatih Sara mengenai semua teknik ingatan dan kepintaran serta kemahiran kreatif.

Menurut bapanya, kelas teknik memori Sara bermula sejak sekatan pergerakan dan cubaan memecah rekod dunia itu tidak pernah dirancang mereka.

Namun, selepas beberapa sesi, Sushsant mengenal pasti kebolehan Sara dan berkongsi rancangannya dengan ibu bapa kanak-kanak itu.

Menurut Sara, perjalanannya bukan mudah apatah lagi terpaksa mempelajari semua nama kompleks dan sebutan nama negara dan ibu negara.

Katanya, sokongan mentornya penting bukan saja memberikan inspirasi malah membantunya melalui pelbagai teknik ingatan lebih kreatif.

"Pada mulanya, latihan ini memerlukan satu setengah jam untuk mempraktikkan semua 585 rekod, tetapi dapat dikurangkan kepada hanya 15 minit dengan latihan biasa.

"Malah, ibu bapa saya juga banyak memberikan dorongan termasuk menentukan jadual persekolahan dan kelas latihan berkaitan," katanya dalam portal India.com.

Dilaporkan, Sara berhijrah ke Dubai bersama ibu bapanya sejak usianya setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:31 AM