FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
AFP

Hong Kong: Pihak berkuasa kesihatan Hong Kong mengeluarkan sebuah klinik swasta dari senarai program vaksinasi Covid-19 selepas ia dilaporkan mencadangkan penggunaan vaksin keluaran Pfizer/BioNTech kepada pesakit berbanding menggunakan vaksin keluaran Sinovac.

Tindakan itu membuktikan sensitiviti kerajaan Hong Kong terhadap sebarang kritikan ke atas vaksin Sinovac, yang mencatatkan kadar keberkesanan lebih rendah dan kelulusannya dipercepatkan walaupun kekurangan data.

Jabatan kesihatan berkata, klinik berkenaan tidak lagi menjadi pusat pemberian vaksin Covid-19 selepas ia melanggar perjanjian yang ditetapkan.

Pihak berkuasa juga akan mengambil semula dos Sinovac yang tidak digunakan dari klinik itu.

Pengumuman itu dibuat selepas satu gambar memaparkan notis di klinik berkenaan yang membandingkan kedua-dua vaksin itu ditularkan di media sosial minggu lalu.

"Saranan: Jangan ambil Sinovac, ambillah BioNTech," tulis nota pada notis itu sambil menambah bahawa doktor di klinik berkenaan turut memilih Pfizer/BioNTech.

Ta Kung Pao, akhbar sekutu pejabat Beijing di Hong Kong, mengeluarkan laporan menuduh doktor di klinik itu 'memburuk-burukkan' vaksin Sinovac.

Sehingga kini, seramai 403,000 penduduk Hong Kong atau lima peratus populasi sudah menerima dos pertama.

Lebih 250,000 menerima suntikan Sinovac, manakala selebihnya dari Pfizer/BioNTech.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:27 PM