ORANG ramai mengunjungi Taman Yu di Shanghai. FOTO AFP
ORANG ramai mengunjungi Taman Yu di Shanghai. FOTO AFP
AFP

Beijing: China melancarkan program sijil kesihatan untuk pengembara domestik, sekali gus menjadi negara perintis kepada apa yang diramalkan sebagai pasport virus.

Sijil digital itu akan menunjukkan status imunisasi pengguna dan keputusan ujian saringan, tersedia untuk warganegara China menerusi program di aplikasi media sosial, WeChat, yang dilancarkan pada Isnin.

Ia dijangka akan membantu 'usaha pemulihan ekonomi dan perjalanan merentas sempadan", kata jurucakap Kementerian Luar negara itu.

Namun, sijil kesihatan itu untuk antarabangsa, pada ketika ini, hanya tersedia untuk penggunaan rakyat China dan ia masih belum mandatori.

Sijil itu, yang turut tersedia dalam bentuk kertas, dianggap adalah pasport virus.

Ketika ini, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) adalah antara negara yang mempertimbang kaedah sama.

Kesatuan Eropah juga sedang berusaha untuk mewujudkan pasport hijau yang membenarkan warganya untuk mengembara ke negara ahli dan negara lain.

Dalam pada itu, program diperkenal China itu turut membabitkan kod QR yang membolehkan negara lain mengakses maklumat kesihatan seseorang, lapor agensi berita Xinhua.

Kod QR kesihatan menerusi WeChat dan aplikasi telefon bimbit lain juga sudah diperlukan untuk memasuki pengangkutan domestik dan tempat awam di China.

Aplikasi itu mengesan lokasi pengguna dan menunjukkan kos hijau, bermakna seseorang mempunyai tahap kesihatan yang baik dan bukan kontak rapat kepada individu disahkan positif atau mengembara ke hotspot (kawasan panas) Covid-19.

Namun, sistem itu turut membangkitkan isu privasi kerana pihak berkuasa dapat memantau seseorang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:16 PM