TENTERA mengeluarkan serpihan bangkai pesawat Sriwijaya Air. FOTO AFP
TENTERA mengeluarkan serpihan bangkai pesawat Sriwijaya Air. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Anggota badan manusia dan serpihan bangkai pesawat Sriwijaya Air yang terhempas semalam, ditemukan di di perairan berhampiran di sini.

Pesawat Boeing 737-500 dikatakan terhempas ke laut, kira-kira empat minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Punca nahas masih belum diketahui, ketika pihak berkuasa giat memfokuskan kepada usaha mencari dan menyelamat.

"Setakat pagi ini, kami menerima dua (beg) mayat, salah satunya adalah barang dipercayai milik penumpang dan satu lagi mengandungi anggota badan manusia," kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus kepada MetroTV.

Penemuan itu ketika aset seperti kapal, helikopter dan pasukan penyelam dihantar ke lokasi nahas.

Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang termasuk anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menuju Pontianak, pada 2.36 petang waktu Indonesia Barat.

Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 10:56 AM