KEDAI XPeng, antara pengeluar dan penjual kereta elektrik, di sebuah kompleks beli-belah di Beijing. FOTO AFP
KEDAI XPeng, antara pengeluar dan penjual kereta elektrik, di sebuah kompleks beli-belah di Beijing. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan penyiasatan mengenai risiko keselamatan negara yang ditimbulkan oleh teknologi dalam kereta buatan China yang memberi amaran ia boleh digunakan untuk mengumpul data sensitif.

China dalam reaksinya marah dengan perkara itu dan menggelar siasatan itu sebagai diskriminasi dan menuduh Washington sengaja menjadikannya sebagai isu perdagangan.

Biden sudah mengarahkan Jabatan Perdagangan untuk menjalankan penyiasatan, memfokuskan pada kenderaan yang mengandungi teknologi dari negara yang dianggap membimbangkan seperti China, dan untuk bertindak balas terhadap ancaman.

"China berazam untuk menguasai masa depan pasaran kereta, termasuk dengan menggunakan amalan tidak adil.

"Dasar China boleh membanjiri pasaran kita dengan kenderaannya, menimbulkan risiko kepada keselamatan negara kita," katanya dalam satu kenyataan.

Washington juga sudah berusaha untuk mengurangkan kebergantungan sektor automotif AS kepada ekonomi kedua terbesar dunia itu dengan menawarkan pelepasan cukai untuk kenderaan elektrik dan bateri buatan AS, sambil cuba meningkatkan kapasiti pengeluaran domestiknya.

Tindakan terkini berkenaan kenderaan yang sentiasa berhubung dengan peranti peribadi, kereta lain, infrastruktur AS dan pengeluarnya termasuk kereta elektrik dan pandu sendiri.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, Jabatan Perdagangan akan mengumpulkan maklumat dengan memberikan tempoh ulasan daripada awam, selama 60 hari.

Sepanjang tempoh itu, pihak berkuasa boleh mengenakan had ke atas beberapa transaksi tetapi pegawai tidak komited pada garis masa.

Jurucakap Kedutaan China, Liu Pengyu berkata, China tegas menentang generalisasi AS mengenai keselamatan negara dan menyasarkan isu ekonomi dan perdagangan.

Terdahulu, pada November tahun lalu, 14 ahli Kongres AS menandatangani surat kepada 10 syarikat berkaitan China yang terbabit dalam sektor automotif, menimbulkan kebimbangan terhadap pengendalian data yang dikumpul semasa menguji kenderaan autonomi di AS.

Selain kereta, Biden mengeluarkan perintah eksekutif minggu ini bertujuan mengehadkan aliran data peribadi AS yang sensitif ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 11:28 AM