SHOU ketika memberi keterangan baru-baru ini. FOTO AFP
SHOU ketika memberi keterangan baru-baru ini. FOTO AFP
Agensi

Washington: Pendirian Amerika Syarikat (AS) untuk mengharamkan TikTok kemungkinan menjadi kenyataan selepas pengurusan tertinggi pengendali aplikasi itu gagal meyakinkan ia tidak membawa ancaman kepada negara itu.

Dalam satu sesi soal siasat Jawatankuasa Kongres AS Khamis lalu, jawapan diberikan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew tidak banyak membantu meyakinkan penggubal undang-undang AS, bahawa aplikasi itu tiada kaitan dengan kerajaan China terutama dalam mengintip AS.

Shou menjelaskan, ByteDance bukan ejen pengintip China atau mana-mana negara ketika diajukan soalan bertubi-tubi daripada wakil kongres sama ada syarikat induk TikTok itu mengintip AS.

Katanya, aplikasi itu tidak mempromosikan atau mengalih keluar kandungan atas permintaan kerajaan China.

Malah, syarikat itu komited untuk tidak dimanipulasi oleh mana-mana kerajaan.

"TikTok juga komited mengutamakan keselamatan pengguna, memantau dan menyaring data AS daripada akses asing yang tidak dibenarkan, selain memastikan aplikasi itu adalah platform untuk ekspresi bebas dan memberikan akses kepada pemantau bebas.

"TikTok juga menghalang kandungan berbahaya daripada diakses kanak-kanak di bawah umur termasuk mewujudkan kawalan ibu bapa baharu yang membolehkan orang dewasa mengehadkan masa skrin," katanya.

Pengerusi jawatankuasa itu, Cathy McMorris Rodgers berkata, pihaknya tidak percaya TikTok akan menjadi lambang kebebasan, hak asasi dan inovasi di AS.

"China boleh menggunakan aplikasi itu sebagai alat untuk memanipulasi Amerika secara keseluruhan.

"TikTok berulang kali memilih laluan untuk lebih mengawal dan manipulasi 'platform anda harus diharamkan'," katanya.

Kongres mencari jaminan mengenai keselamatan untuk kanak-kanak bawah 18 tahun dengan ramai wakil menolak hujah Shou mengenai keselamatan TikTok.

Pentadbiran Presiden Joe Biden baru-baru ini berkata, TikTok boleh diharamkan di AS jika China tidak menjual kepentingan mereka dalam syarikat itu.

Aplikasi itu diharamkan pada peranti kerajaan persekutuan untuk ahli Kongres dan tentera.

Kerajaan barat lain termasuk Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan New Zealand juga mengharamkan TikTok.

United Kingdom juga mengumumkan pengharaman aplikasi pada peranti kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 12:44 PM