Matthew Perry. FOTO AFP
Matthew Perry. FOTO AFP
Reuters

Los Angeles: Bintang 'Friends', Matthew Perry meninggal dunia akibat kesan akut ketamin digabungkan dengan faktor lain hingga menyebabkan pelakon itu tidak sedarkan diri dan lemas dalam tab mandi panasnya.

Perry yang secara terbuka mengakui penyalahgunaan dadah dan alkohol selama berdekad, ditemui oleh pembantunya dalam keadaan terapung secara terlentang dan tidak bermaya di jakuzi rumahnya di Los Angeles.

Laporan bedah siasat daripada Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles dikeluarkan selepas hampir tujuh minggu kematian Perry, 54.

Ujian toksikologi menemui ketamin, ubat bius bertindak pendek dengan sifat khayal, dalam badan Perry pada tahap tinggi dalam julat yang biasanya dikaitkan dengan anestesia am yang digunakan dalam penjagaan pembedahan yang dipantau, kata laporan itu.

"Punca kematian Matthew Perry ditentukan berpunca daripada kesan akut ketamin

"Penyakit arteri koronari, kesan buprenorphine ubat penagihan opioid dan lemas disenaraikan sebagai faktor penyumbang kematiannya, yang dianggap sebagai kemalangan.

"Kepekatan ketamin dalam badan Perry merangsang degupan jantungnya secara berlebihan dan menyesakkan pernafasannya, berkemungkinan menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum wajahnya tergelincir di bawah air di dalam tab mandi panas, kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, kaedah pengambilan secara tepat dalam kes Perry tidak diketahui, malah tiada kesan jarum baharu ditemui pada badannya.

Dirujuk sebagai 'halusinogen anestetik disosiatif' kerana ia menghilangkan rasa sakit, kebimbangan, ketamin boleh disuntik, dicampur dengan cecair, dihidu sebagai serbuk, atau dihisap, menurut Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah A.S.

Penemuan bedah siasat mencadangkan Perry mungkin menambah sendiri penggunaan ketamin dengan rawatan perubatan yang diambilnya.

Menurut temu bual saksi yang dipetik dalam laporan itu, Perry menjalani terapi infusi ketamin untuk kemurungan dan kebimbangan melampau.

Perry sudah bebas daripada pengambilan dadah selama 19 bulan sebelum kematiannya.

Penyiasat mendapati tiada alkohol, dadah terlarang atau peralatan dadah di tempat kejadian kematiannya.

Pelbagai produk vape nikotin ditemui di ruang tamu Perry termasuk suntikan ubat anti-diabetes tirzepatide dan lolipop nikotin berada di dalam peti sejuk.

Pelakon itu dikatakan berhenti merokok dua minggu lebih awal, dan perlu mengambil Tamoxifen - pengawal selia hormon yang biasanya diambil untuk pencegahan kanser payudara, untuk penurunan berat badan dan sedang menerima suntikan testosteron.

Paras bukan toksik beberapa ubat preskripsi dikesan dalam badan Perry, tetapi tiada kesan alkohol, kokain, heroin atau narkotik haram lain ditemui, kata laporan itu.

Perry sempat bermain 'pickleball' beberapa jam sebelum kematiannya, dan seorang saksi yang mengenali pelakon itu memberitahu penyiasat dia nampaknya berada dalam 'semangat yang baik' apabila dia kali terakhir bercakap dengannya beberapa hari sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 12:00 PM