PENDUDUK mengisi botol dengan air dari tangki di Rafah berhampiran selatan Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK mengisi botol dengan air dari tangki di Rafah berhampiran selatan Gaza. FOTO AFP
Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi sudah bersetuju untuk membenarkan sehingga 20 trak bantuan kemanusiaan melalui pintu Rafah memasuki Semenanjung Gaza.

Bercakap kepada pemberita pada Rabu sebaik turun dari Air Force One selepas perjalanan pulangnya dari Israel, Biden berkata al-Sisi berhak mendapat banyak pujian untuk perjanjian itu.

Biden dilaporkan Anadolu berkata Presiden Mesir dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu 'mempertingkat' untuk memudahkan penghantaran yang belum selesai.

Menurutnya, beliau sangat terus terang mengenai keperluan untuk saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza semasa pertemuannya dengan Netanyahu awal Rabu.

Gaza sudah pun mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik, manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan kehabisan.

Zionis Israel sebelum ini mengarahkan pengepungan penuh ke atas Gaza sebagai membalas dendam terhadap kebangkitan Palestin melalui Operasi Taufan Al-Aqsa menerusi serangan oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.

Serangan mengejut daripada pihak pejuang Palestin itu menerusi pelbagai serampang yang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke wilayah diduduki Israel secara haram oleh Hamas melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata pencerobohan itu sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan mereka meningkatkan penentangan terhadap penjajahan Zionis.

Lebih 1,400 warga Israel dilaporkan terbunuh sejak permulaan perang.

Sekurang-kurangnya 3,478 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 10:54 AM